KPDN Kelantan serbu stor bungkus semula minyak masak peket

KPDN Kelantan serbu stor bungkus semula minyak masak peket

AZMAN Ismail (kiri) bersama pegawainya memeriksa minyak masak peket yang dimasukan ke dalam tong jerikin  di Stor Penyimpanan KPDN, Kawasan Perindustrian Padang Tembak, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/ROSLIZA MOHAMAD.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tindakan penyeludup yang menjadikan sebuah stor di belakang bengkel di Kampung Cherang Tuli, Padang Pak Amat dekat Pasir Puteh sebagai lokasi untuk membungkus semula minyak peket ke dalam tong jerikin terbongkar selepas pihak berkuasa menyerbu kawasan tersebut semalam.

Serbuan itu dijalankan selepas anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menahan sebuah trak pikap membawa 1,349 peket minyak masak subsidi yang terbalik di Kampung Gaung, Pasir Mas kelmarin.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, hasil soal siasat dan maklumat daripada pemandu trak pikap jenis Mitsubishi Pajero berusia 29 tahun itu, pihaknya terus melakukan serbuan di stor terbabit.

Menurutnya, semasa serbuan dijalankan, seorang wanita warga emas berusia 65 tahun sedang membuat pengisian semula minyak masak peket ke dalam tong jerikin terpakai.

“Pemeriksaan mendapati, sebanyak 12 tong jerikin terpakai dengan pelekat bahan kimia seberat 64 kilogram (kg) bernilai RM160 ditemui di dalam stor terbabit.

“Selain itu, sebanyak 2.2 tan minyak masak peket bernilai RM5,610 yang berada di dalam kotak turut dirampas,” katanya pada sidang akhbar di Stor Penyimpanan KPDN, Kawasan Perindustrian Padang Tembak, Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Azman memberitahu, siasatan mendapati, 12 tong yang sudah diisi minyak masak peket itu akan dijual kepada penyeludup sebelum bahan mentah tersebut diseludup ke Thailand.

Katanya, stor berkenaan juga didapati baru beroperasi selama tiga bulan.

“Bekalan minyak masak peket itu dipercayai diambil daripada pembekal di negeri berhampiran Kelantan sebelum penyeludup membuat pengisian semula minyak itu ke dalam tong untuk dijual.

“Kes ini merupakan rampasan pertama melibatkan pengisian semula minyak masak peket ke dalam tong yang bertujuan untuk mengelirukan pihak berkuasa,” ujarnya.

Azman berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001.

Utusan Online semalam melaporkan, seorang penyeludup nyaris maut selepas pacuan empat roda yang dipandunya membawa membuat minyak masak peket untuk diseleweng ke negara jiran terbalik semasa melalui selekoh berhampiran persimpangan lampu isyarat Kampung Gaung dekat jalan pintasan Pasir Mas di sini semalam.

Kejadian itu berlaku semasa suspek berusia 29 tahun sedang melarikan diri selepas dikejar oleh anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya