JOHOR BAHRU: Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dijalin atas dasar keikhlasan untuk membentuk kerajaan perpaduan, bukan untuk mengejar kuasa.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkara itu dapat dibuktikan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) setelah kerajaan negeri tidak dapat dibentuk di Pahang dan Perak dan mereka tampil memberikan sokongan.
Beliau berkata, keikhlasan itu juga diterjemahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor pada bulan lalu apabila sanggup berkorban memberi tujuh kerusi milik mereka sehingga menjejaskan gabungan untuk mendapat kemenangan dua pertiga.
“Kita lihat PH menunjukkan keikhlasan untuk bersama BN. Jika kita lihat pada PRU15 lalu, mereka memberi sokongan kepada parti untuk membentuk kerajaan begeri di Pahang dan Perak walaupun ketika itu kita tak mempunyai majoriti.
“Hal sama dibuktikan pada PRN di Selangor, pada ketika itu kita memang ada lima kerusi dan PH bagi tambahan tujuh kerusi sedangkan itu mereka menang atas tiket PH, namun kita kalah di kerusi yang diberikan dan kekalahan itu sebabkan PH tak boleh bentuk kerajaan dua pertiga.
“Sebab itu, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Pulai ini, kita kena bagi balik hak kepada parti ini dan kita juga nak tunjukkan keikhlasan, ini yang penting,” katanya pada program Ziarah Kasih bersama penduduk Kampung Orang Asli Bakar Batu, Perling, di sini hari ini.
Yang turut hadir, calon Perikatan Harapan (PH) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad.
Oleh itu, Johari berkata, perkara itu perlu diperjelaskan kepada peringkat akar umbi supaya mereka dapat memahami perkara itu dan memberikan sokongan kepada PH pada PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
“Saya di sini untuk menjelaskan, BN ada pengundi tegar dan mereka setiap kali PRU akan lihat BN bertanding. Tak pernah tengok BN tak bertanding, oleh itu kali ini kita tolong PH bertanding. Kita kena banyak jelaskan kepada mereka.
“Esok PH menang di Johor, dia akan bertanding di tempat lain, kita pula akan bertanding dan bertukar. Profil pengundi akan bertukar setiap lima tahun,” katanya. -UTUSAN