Kereta terbalik, pemandu elak monyet melintas - Utusan Malaysia

Kereta terbalik, pemandu elak monyet melintas

SEORANG wanita mengalami kecederaan ringan selepas kereta dipandunya terbabas lalu terbalik selepas cuba mengelak seekor monyet melintas jalan dalam kejadian di Kilometer Tiga, Jalan Chengkau-Pilin-Lubuk China, di Rembau pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Sebuah kereta terbabas lalu terbalik gara-gara pemandunya cuba mengelak seekor monyet melintas dalam kemalangan di Kilometer Tiga, Jalan Chengkau-Pilin-Lubuk China, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi berkenaan, pemandu kereta jenis Proton Iswara iaitu seorang wanita berusia 20 tahun mengalami luka-luka ringan.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, siasatan awal mendapati kenderaan berkenaan dari Kampung Pilin hendak pergi ke Rembau. 

“Sampai di tempat kejadian, pemandu telah mengelak seekor monyet melintas jalan dari kiri ke kanan menyebabkan kenderaan yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan melanggar pagar rumah sebelum terbalik di lokasi kejadian. 

“Akibat daripada kemalangan tersebut, pemandu mengalami luka-luka ringan manakala kenderaan mengalami kerosakan remuk pada bahagian hadapan,” katanya di sini, hari ini.

Ujar Hazri lagi, mangsa telah tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau (IPD) Rembau bagi membuat laporan sekitar pukul 10.30 pagi.

Menurutnya, kes kini disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN