Kerajaan teliti polisi rantaian bekalan agromakanan

Kerajaan teliti polisi rantaian bekalan agromakanan

KERAJAAN sedang mengkaji dasar dan polisi pertanian seiring cabaran menghadapi isu keterjaminan makanan negara. - UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang meneliti dasar dan menyesuaikan polisi dengan cabaran semasa agromakanan negara ketika ini.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Timbalan Menterinya, Chan Foong Hin berkata, penyelarasan rantaian bekalan dan menambah baik akses pasaran dalam sektor agromakanan adalah antara keutamaan dalam penelitian itu.

“Mengambil iktibar daripada pengalaman ketika dan pasca pandemik, antara keutamaan yang diberikan adalah menyelaras semula rantaian bekalan agromakanan supaya menjadi lebih efisien dan menyeluruh.

“Selain itu menambah baik akses pasaran dalam dan luar negara kepada pengusaha agromakanan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Terdahulu, Utusan Malaysia dalam laporannya mengutarakan pandangan pakar-pakar pertanian yang berpendapat sudah tiba masanya kerajaan merombak polisi pertanian lapuk yang wujud sejak enam dekad lalu dengan memperkenal polisi lebih terbuka bagi memastikan keterjaminan sumber makanan negara pada masa akan datang.

Polisi pertanian lapuk terutama jualan, pengedaran dan pengagihan input pertanian seperti benih dan baja yang masih dipusatkan di bawah satu agensi atau entiti, dilihat menyukarkan negara untuk keluar daripada kebergantungan terhadap import makanan.

Malah, matlamat Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang mahu memastikan sektor keterjaminan makanan negara yang mampan tidak akan tercapai jika polisi itu terus dikekalkan.

Ini dapat dilihat apabila, walaupun DAN 2.0 diperkenalkan, namun nilai import makanan terus meningkat saban tahun daripada RM63.6 bilion pada tahun 2021 kepada RM75.6 bilion pada 2022 dan dijangka meningkat kepada RM100 bilion bagi tahun 2025.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Gerak Tani, Datuk Mazlan Aliman berkata, agenda reformasi mengenai masa depan sektor makanan perlu dibincangkan bagi mengelakkan negara terus bergantung kepada import.

Katanya, ini kerana beliau bimbang keadaan bertambah parah dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang dan menyebabkan kebergantungan tinggi terhadap import yang sudah tentu memberi kesan kepada rakyat

Pada masa sama, Mazlan bagaimanapun kecewa kerana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pertanian sehingga kini dikatakan masih tidak diajak berbincang dalam sesi libat urus.

“Jadi, bagaimana mahu tahu apa yang yang perlu dilakukan. Saya sampai hari ini juga masih lagi tercari-cari apa sebenarnya Kerajaan Perpaduan mahu bawa dalam hala tuju dasar makanan negara kita, ia tanpa satu pembentangan yang boleh menyakinkan rakyat.

“Sedangkan, kita boleh lihat bagaimana gerakan jiran kita seperti Thailand dan Indonesia untuk memastikan kecukupan makanan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN