Kerajaan negeri tubuh pasukan khas selesai isu Madrasah

Kerajaan negeri tubuh pasukan khas selesai isu Madrasah Ar-Rabbaniyah

PEGAWAI JAIM melakukan tinjauan di Madrasah Ar-Rabbaniyah, Merlimau, Jasin, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri menafikan dakwaan lepas tangan terhadap isu Madrasah Ar-Rabbaniyah, Merlimau dekat sini sebaliknya bersedia membantu dua kumpulan yang terlibat dalam pertikaian tuntutan harta berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) tiada masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak.

Jelas beliau, masalah sebenar berpunca daripada isu dalaman kerana wujud dua kumpulan yang tidak mencapai kata sepakat tentang proses tuntutan harta dianggarkan antara RM5 juta hingga RM8 juta.

“Masalah timbul selepas pengasas madrasah meninggal dunia pada 2018 yang mana segala aset termasuk tanah diserahkan kepada sebuah pertubuhan. Perjalanan madrasah juga tidak mengikut peraturan antaranya tidak mengadakan mesyuarat agung dan tidak mengisytiharkan sumber dana yang diperolehi.

“Disebabkan itu segala harta diserahkan kepada pendaftar syarikat (ROC) dan kemudiannya ROC serah kepada Jabatan Insolvensi sebagai caretaker (penjaga sementara). Syarat untuk mendapatkan semula aset adalah tiga perempat ahli pertubuhan tersebut perlu membuat tuntutan kepada jabatan berkenaan.

“Isunya adalah pertubuhan tersebut berpecah kepada tiga kumpulan sebelum menjadi dua kumpulan ketika ini. Pejabat agama tiada masalah, boleh bantu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perjumpaan Ketua Menteri Bersama Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini, hari ini.

RAHMAD Mariman bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perjumpaan Ketua Menteri Bersama Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan di MITC, Ayer Keroh, Melaka. – UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, walaupun pelbagai langkah telah diambil oleh bekas pengurusan untuk membuka semula Madrasah Ar-Rabbaniyah yang ditutup sejak 2019, namun usaha itu masih belum berjaya.

Bekas pegawai madrasah yang enggan namanya didedahkan berkata, bekas pengurusan tidak berhenti berusaha untuk memulihara madrasah berkenaan dengan membuat rayuan sejak setahun lalu, termasuk merujuk kes itu kepada Jabatan Insolvensi.

Menurutnya, madrasah yang dibuka pada 16 September 2008 dibina atas tanah seluas 1.2 hektar manakala pembinaan bangunan pelajar, masjid serta keperluan lain dianggarkan berjumlah RM1.8 juta dibuat secara berperingkat, hasil dana lebih 100 pewakaf seluruh negara.

Tambah Rahmad, satu pasukan khas akan ditubuhkan di peringkat JAIM dan MAIM untuk membantu menyelesaikan isu berkenaan. Katanya, beliau kini dalam proses bertemu dengan kumpulan terlibat yang dianggarkan seramai 80 orang.

“Kalau tiga perempat daripada jumlah ini buat tuntutan kepada insolvensi, mereka boleh beri semula. Ada satu lagi syarat insolvensi iaitu perlu dapatkan kelulusan atau sokongan MAIM dan kami tiada masalah.

“Asalkan mereka selesaikan dahulu hal (pertikaian) mereka. Sebab pada saya kalau (harta) tidak boleh bagi sebarangan kerana pasti akan ada satu kumpulan lagi mencabar di mahkamah,” ujarnya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN