JOHOR BAHRU: Kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), Suhaizan Kayat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai amat penting bag penentu kerajaan perpaduan mempunyai majoriti dua per tiga di Dewan Rakyat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dengan kemenangan itu kerajaan dapat melakukan pelbagai pindaan atas keperluan semasa negara.
Antaranya, persempadanan semula kawasan pilihan raya melibatkan sesetengah kawasan terlalu ramai pengundi, sekali gus mustahil untuk seorang Ahli Parlimen menjaga sehingga 300,000 pengundi.
“Di Parlimen Pulai kemenangan saudara Suhaizan akan benar-benar cukupkan jumlah 148 kerusi Parlimen yang mana secara sekali gus akan terus menentukan bahwa kerajaan Madani, kerajaan perpaduan ini mempunyai dua per tiga majoriti di Parlimen.
“Kemenangan ini cukup penting kerana ada majoriti lebih pelbagai boleh pinda atas keperluan semasa negara. Kita pun boleh lakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi sesetengah kawasan terlalu ramai pengundi,” katanya selepas melakukan lawatan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah Fasa 1, di sini hari ini.
Presiden UMNO itu berkata, gabungan dua tokoh, iaitu Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang kini Timbalan Speaker dan Suhaizan kelak mampu memperjuangkan nasib rakyat di Parlimen itu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, terdapat pihak yang mengeluarkan fatwa berbeza setiap kali pilihan raya termasuk menabur fitnah dan menyebarkan propaganda.
“Yang satu lagi itu dia keluar fatwa, ada fatwa pula, eh bila kau jadi ulama woi, tiba-tiba keluar fatwa, mana (rujukan) ayat al-Quran, mana hadis dia, mana qias dan ijma’ ulama dia. Ini asas kepada hukum, bagaimana boleh timbul fatwa pagi lain, petang lain, esok lain.
“Akhirnya panjang lilit (serban) parti lebai ini makin banyak pelik pemikiran dia dan bertukar-tukar, ini bukan merujuk kepada yang hidup atau mati, tapi itulah yang dilakukan,” katanya.
Justeru, beliau mengingatkan pengundi supaya tidak terjebak dengan fatwa dan propaganda yang dilihat boleh merosakkan serta meracuni pemikiran. – UTUSAN