JOHOR BAHRU: Kemenangan calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai adalah petanda baik bagi kerajaan perpaduan untuk terus memberi fokus terhadap pembangunan ekonomi negara.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kemenangan itu juga petanda rakyat menolak politik ekstrem, sebaliknya memilih jalan tengah, iaitu politik kesederhanaan.
Keputusan itu juga adalah mesej jelas yang disampaikan rakyat, khususnya pengundi di Parlimen Pulai kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ini petanda baik, kerajaan boleh mula tadbir dan bawa kemajuan kepada negara dan rakyat. Selain itu, mesejnya adalah segala usaha Perikatan Nasional (PN) dalam memfitnah dan menakutkan pengundi Melayu tidak berkesan.
“Bagi UMNO, kita akan terus berusaha gigih untuk berdepan segala sentimen dibuat PN kerana ia boleh merosakkan perpaduan dalam negara. Kita bersyukur dan gembira kerana rakyat pilih bersama perpaduan, pilih kesederhanaan dan kerajaan pelbagai kaum, mereka pilih kerajaan yang boleh bawa kemajuan secara baik dan rasional.
“Ini bukti pendekatan menggunakan sentimen agama dan kaum tidak diterima rakyat di negara ini,” katanya ditemui di Bilik Gerakan Utama Jentera PH di Taman Dahlia, di sini malam ini.
Sementara itu, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kemenangan Suhaizan membuktikan perpaduan dalam kalangan parti-parti kerajaan semakin erat.
“Kita sudah mula meyakini antara satu sama lain dengan hasil kerjasama ini adalah kemenangan yang berjaya diperoleh. Saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang turun berkempen beberapa kali, termasuk kepimpinan PH dan BN lain yang turut bersama-sama,” katanya.
Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong pula berkata, kemenangan itu bukan sahaja bagi Suhaizan dan PH, malah juga bagi rakyat Pulai dan Malaysia secara amnya.
“Ini kemenangan bersama kita, bukti Bangsa Johor dan rakyat Malaysia pilih jalan tengah serta menolak politik ekstrem,” katanya. – UTUSAN