Kastam rampas rokok seludup bernilai RM3.9 juta - Utusan Malaysia

Kastam rampas rokok seludup bernilai RM3.9 juta

SAZALI MOHAMAD (dua dari kanan) menunjukkan rampasan rokok putih dan kretek yang dirampas pada sidang akhbar di Menara Kastam Johor Bahru hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan cubaan dua sindiket untuk menyeludup sebanyak 2,910,200 batang rokok putih pelbagai jenama dalam dua serbuan berasingan di Johor, Pahang dan Terengganu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, nilai rampasan rokok tersebut termasuk duti dan cukai bagi kedua-dua kes berjumlah RM3.9 juta.

Menurutnya, dalam serbuan pertama, anggota kastam negeri ini menahan sebuah lori perdagangan di Cawangan Eksport, Bangunan Sultan Iskandar di sini pada 6 September lalu.

“Seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan dan hasil pemeriksaan rapi terhadap lori berkenaan menemukan sejumlah 830,000 batang rokok putih yang dipercayai belum lulus kastam untuk dibawa seludup masuk ke Singapura.

“Jumlah nilai rampasan rokok termasuk duti dan cukai sebanyak RM730,400. Bagaimanapun kes ini telah selesai dengan suspek mengaku salah setelah dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 19 September dan dihukum penjara enam bulan dari tarikh ditangkap,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Kastam, di sini hari ini.

Sazali berkata, modus operandi sindiket pertama dengan tidak mengikrarkan rokok dengan niat menyeludup rokok tidak berkastam menggunakan lori dagangan ke negara jiran.

Dalam serbuan kedua pada 12 September lalu selepas pihaknya melakukan risikan selama dua minggu sebelum berjaya mengesan tiga buah premis kediaman, masing-masing di Jerantut, Pahang dan Marang, Terengganu dijadikan stor simpanan rokok seludup.

Sebanyak 2,080,200 batang rokok kretek dan putih pelbagai jenama dirampas bernilai RM3.2 juta termasuk cukai dan duti import.

Katanya, sindiket tersebut menjadikan premis di kawasan kediaman sebagai tempat penyimpanan rokok yang belum lulus kastam yang dipercayai diimport dari luar negara, termasuk Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Usaha mengesan pemilik premis berkenaan sedang giat dijalankan. Kedua-dua kes disiasat dan diambil tindakan di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN