Jual kuih tradisional, graduan kolej komuniti terima anugerah usahawan - Utusan Malaysia

Jual kuih tradisional, graduan kolej komuniti terima anugerah usahawan

NURUL Anis Shamsudin (tengah) bersama ibu dan bapanya iaitu Jamilah Said dan Shamsudin Ramli selepas dia terpilih menerima Anugerah Usahawan sempena Majlis Konvokesyen Komemoratif Kolej Komuniti Tahun 2023 Sidang 3 di Dewan Tuanku Canselor, USIM, Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang graduan dari Kolej Komuniti Nibong Tebal, Pulau Pinang terpilih sebagai penerima Anugerah Usahawan sempena Majlis Konvokesyen Komemoratif Kolej Komuniti Tahun 2023 Sidang 3 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai di sini hari ini. 

Nurul Anis Shamsudin, 21, yang merupakan graduan sijil kulinari dari kolej komuniti tersebut memberitahu, dia telah menjalankan perniagaan seperti katering secara kecil-kecilan sebelum menyambung pelajaran di kolej komuniti.

“Saya berniaga secara kecil-kecilan sebelum masuk ke kolej komuniti lagi. Saya menjual roti jala, ada membuat perniagaan mini katering dan mengambil tempahan kenduri untuk kuih tradisional seperti lepat, popia goreng dan cucur udang. 

“Ibu saya banyak membantu dan mengajar terutama berkaitan resipi-resipi kuih. Kini hasil menjalankan perniagaan itu, saya mampu memperoleh pendapatan mencecah RM4,000 sebulan” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal.

Seramai 1,801 orang graduan kolej komuniti dari Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang diraikan pada sesi sidang tiga majlis konvensyen tersebut.

NURUL Atikah Mohd. Naim bersama kakak dan abangnya selepas selepas dia terpilih menerima Anugerah Usahawan sempena Majlis Konvokesyen Komemoratif Kolej Komuniti Tahun 2023 Sidang 3 di Dewan Tuanku Canselor, USIM, Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.

Majlis Konvokesyen Komemoratif Kolej Komuniti Tahun 2023 berlangsung selama empat hari dan berakhir pada 21 September ini yang meliputi lapan sidang dan merangkumi 6,375 orang graduan diploma dan sijil dari 90 buah kolej komuniti seluruh negara.

Dalam pada itu, Nurul Anis memberitahu, dia sememangnya berhasrat untuk membuka sebuah kedai berkonsepkan pasti satu hari nanti.

Sementara itu, graduan Sijil Pemprosesan Makanan dan Kawalan Mutu Makanan dari Kolej Komuniti Lahad Datu, Sabah, Nurul Atikah Mohd. Naim, 23, juga menerima anugerah berkenaan.

Anak ketujuh daripada 10 orang adik beradik itu mengusahakan perniagaan keluarganya iaitu menjual keropok lekor. 

“Saya sedang mengusahakan perniagaan keluarga iaitu menjual keropok lekor. Bermula menjual di kampung sahaja  kini saya aktif berniaga di media sosial seperti Facebook dan Instagram,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya