JOHOR BAHRU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka dua kertas siasatan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa mengeluarkan kenyataan berkaitan 3R, iaitu agama, bangsa dan raja ketika berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya akan memanggil Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu pada Selasa ini untuk diambil keterangan.
“Ada dua kertas siasatan dibuka terhadap Tan Sri Muhyiddin susulan kenyataan beliau berkaitan’fatwa’ dan kenyataannya berkenaan orang Melayu akan hilang kuasa. Jadi, kita akan panggil beliau pada 12 September ini untuk diambil keterangan,” katanya selepas meninjau proses mengundi bagi Parlimen Pulai di pusat pengundian Maktab Sultan Abu Bakar, di sini hari yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat.
Beliau berkata, buat masa ini, tiada kertas siasatan baharu dibuka membabitkan pemimpin parti politik lain berhubung isu 3R.
Pada Sabtu lalu, Muhyiddin didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa ‘haram memberikan undi kepada Suhaizan kayat’ ketika berucap pada Ceramah Perdana di Dataran Utama Kempas, di sini, ketika kempen PRK Parlimen Pulai.
Dalam pada itu, Ayob Khan turut mengakui sukar menghalang komen-komen berkaitan isu 3R oleh pelbagai pihak, termasuk kepimpinan parti politik.
Namun, pihaknya akan terus memantau kenyataan-kenyataan sedemikian bagi memastikan tiada mana-mana pihak mengeksploitasi perkara tersebut demi kepentingan mereka.
“Komen berhubung isu 3R ini, saya rasa akan berterusan bukan semasa pilihan raya sahaja. Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu dan Pilihan Raya Kecil (PRK) ini, mungkin semasa Pilihan Raya Umum (PRU) akan dimainkan lagi. Pasti ada individu yang tidak bertanggungjawab daripada semua lapisan masyarakat melakukan perkara ini.
“Pihak berkuasa termasuk polis telah beri amaran banyak kali, nasihat sudah banyak kali tetapi masih ada lagi yang gunakan kesempatan untuk mengeksploitasi demi kepentingan politik mereka. Jadi, isu ini akan berterusan sama ada dalam laman media sosial atau dalam kenyataan-kenyataan dibuat, tetapi pihak polis akan sentiasa memantau. Sekiranya ada lagi yang didapati melakukan perbuatan itu kita akan lakukan siasatan,” katanya. – UTUSAN