KUALA LUMPUR: Polis akan mencadangkan Tan Sri Abdul Hadi Awang didakwa di bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia berhubung ucapannya yang mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, cadangan pertuduhan boleh dibuat di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Bagaimanapun, menurut beliau, keputusan sama ada Presiden Pas itu akan didakwa atau tidak akan diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara.
“Sama ada akan tuduh atau tidak tuduh, itu bergantung pada penilaian Pejabat Peguam Negara nanti,” kata beliau pada sidang akhbar di Bukit Aman semalam.
Ayob berkata, kertas siasatan tersebut akan dihantar kepada Pejabat Peguam Negara pada minggu ini.
Terdahulu, Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman mengambil keterangan Hadi di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur selama sejam.
Hadi disiasat berhubung ucapannya di Johor pada 26 Ogos.
Dalam ucapannya Ahli Parlimen Marang itu berkata, pengampunan kepada pesalah yang diamalkan di negara ini tidak sesuai dengan ajaran Islam.
Kata Hadi, anggota keluarga mangsa jenayah yang berhak memberikan pengampunan, bukan lembaga pengampunan.
Ucapan tersebut adalah sebahagian daripada kes menyentuh sensitiviti agama, raja dan kaum (3R).
Pada 28 Ogos, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan dibuka terhadap Abdul Hadi di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
ASET
Sementara itu, berkaitan kes Jasmine Loo, Ayob berkata, polis telah merampas pelbagai aset termasuk akaun dan hartanah semuanya bernilai RM93.2 juta milik wanita itu.
Menurut beliau, aset-aset yang dirampas itu diperoleh dari hasil penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kesemua aset dan hartanah berkenaan dipercayai berada di beberapa negara iaitu di Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura.
Turut dirampas dua utas jam tangan mewah iaitu jenama Richard Mille dan Harry Winston serta 13 buah beg tangan termasuk jenama Birkin.
Selain itu, seutas gelang tangan dan pelbagai dokumen yang disimpan di sebuah kondominium di Bukit Damansara di sini.
“Kesemua asset terdiri pelbagai barangan mewah itu kini berada dalam simpanan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) untuk siasatan lanjut,” kata beliau.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, siasatan mendapati Jasmine telah ditawarkan jawatan sebagai penasihat undang-undang 1MDB sejak Mei 2011 dan menerima gaji RM40,000 sebulan.
Jasmine juga adalah pemilik syarikat River Dee International SA yang didaftarkan di British Virgin Islands.- UTUSAN










