Bunuh 23 penghuni tahfiz: Hukuman penjara pemuda dikekal - Utusan Malaysia

Bunuh 23 penghuni tahfiz: Hukuman penjara pemuda dikekal

Seorang pemuda berusia 22 tahun kekal ditahan di penjara selama tempoh perkenan Yang di-Pertuan Agong selepas Mahkamah Rayuan semalam mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya kerana membunuh 23 penghuni Darul Quran Ittifaqiyah dalam kebakaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang pemuda berusia 22 tahun kekal ditahan di penjara selama tempoh perkenan Yang di-Pertuan Agong selepas Mahkamah Rayuan semalam mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya kerana membunuh 23 penghuni Darul Quran Ittifaqiyah dalam kebakaran, enam tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Abu Bakar Jais (kini hakim Mahkamah Persekutuan) memutuskan demikian secara sebulat suara selepas menolak rayuan pemuda itu yang dinamakan sebagai pesalah kanak-kanak pertama (PKK1).

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun turut mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan seorang lagi pemuda yang juga berusia 22 tahun daripada kesemua 23 pertuduhan membunuh mangsa.

Dalam kejadian 14 September 2017, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terkorban ekoran terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz yang terbakar.

Hakim Che Ruzima yang membacakan keputusan itu berkata, mahkamah berpuas hati bahawa PKK1 bukan sahaja bertanggungjawab memulakan kebakaran, malah mengetahui perbuatannya boleh menyebabkan bencana tubuh kepada 23 mangsa yang berada di bangunan itu.

KUKUH

Pada hemat panel tersebut, keterangan pihak pendakwaan kukuh bahawa PKK1 bahawa individu yang bertanggungjawab memanjat pagar di belakang tahfiz untuk memulakan kebakaran.

Mahkamah berpuas hati, hakim Mahkamah Tinggi telah membuat pertimbangan yang sangat teliti terhadap keterangan saksi pendakwaan ke-68 dan saksi pendakwaan ke-69 bahawa PKK1 yang memanjat pagar sebelum kebakaran berlaku.

Panel itu berpendapat, rakaman CCTV di bangunan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di belakang bangunan tahfiz itu menunjukkan PKK1 ketika itu turut membawa botol yang dikatakan berisi petrol.

Hakim Che Ruzima seterusnya berkata, mahkamah menolak pembelaan PKK1 selepas berpuas hati apabila pembelaannya adalah penafian kosong semata-mata, saksi-saksi yang dikemukakannya merupakan saksi berkepentingan selain gagal membuktikan pembelaan alibi.

MENGUSIK

“Tiada sebab bagi panel ini untuk mengusik dapatan hakim Mahkamah Tinggi yang telah menganalisis keterangan sokongan, rakaman CCTV dan lawatan di tempat kejadian,” katanya.

Hakim Che Mohd. Ruzima berkata, keterangan saksi-saksi pendakwaan serta rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan PKK1 sememangnya berada di tempat kejadian walaupun tiada saksi mata (eye witness) melihat pemuda itu mengangkat tong gas dan mencucuh petrol dengan pemetik api.

Panel itu turut bersetuju dengan keputusan hakim Mahkamah Tinggi yang menerima keterangan saksi pendakwaan berhubung penemuan pemetik api yang membuktikan kelakuan pemuda itu.

“PKK1 yang memandu arah polis ke rumahnya dan tunjukkan pemetik api itu. Panel ini bersetuju perbuatan PKK1 memilih pemetik api di rumahnya dan menunjukkan kepada polis dan keterangan itu diterima oleh Mahkamah Tinggi,” kata beliau

Sementara itu, ketika menyampaikan keputusan terhadap PKK2, panel itu berpendirian bahawa tiada keterangan yang boleh menyokong bahawa pemuda itu turut memanjat pagar bersama-sama PKK1.

Sehubungan itu, panel tersebut menolak rayuan pihak pendakwaan selepas berpendirian, tiada alasan untuk mengubah keputusan hakim Mahkamah Tinggi pada 28 Januari 2020 yang melepas dan membebaskan PKK2 tanpa memanggilnya membela diri.

Pada 17 Ogos 2020, Hakim Datuk Azman Abdullah bagaimanapun mendapati penama pertama bersalah dan mengenakan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong kerana perayu yang ketika itu berusia 16 tahun merupakan pesalah kanak-kanak.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Kedua-duanya yang ketika kejadian berusia 16 tahun, didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini di antara 4.15 pagi dengan 6.45 pagi, pada 14 September 2017. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN