PASIR MAS : Kawalselia Padi dan Beras Negara Negeri Kelantan memberi jaminan bekalan beras putih tempatan mencukupi sepanjang musim banjir yang bakal melanda tidak lama lagi.
Pengarahnya, Mohamed Fadhli Abdul Azid berkata, jaminan itu berpandukan kepada kerja-kerja menuai hasil padi padi musim II yang bermula hujung September ini.
Menurutnya, penggunaan beras di Kelantan ketika ini antara 11,000 hingga 12,000 metrik tan (mt) sebulan dan stok itu mencukupi di peringkat pemborong, pengilang serta peruncit.
“Banjir tidak boleh diramal…tetapi berdasarkan rekod semusim tuaian padi sebanyak 91,000 mt hasil mampu dikeluarkan.
“Jika kita dapat mengeluarkan 54,000 (mt) kita mampu penuhi keperluan. Hal ini kerana keperluan di Kelantan hanya 11,000 mt,” katanya pada dalam sidang media Isu Beras Putih Tempatan (SST) dan Pelancaran Jualan Beras Putih Tempatan di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kangkong sini hari ini.
Mohamed Fadhli memberitahu, PPK Kangkong salah satu syarikat pembekal dan pengedaran beras putih tempatan yang telah dilantik bagi memastikan bekalan mencukupi dengan penyediaan 200 metrik tan beras sebulan.
Katanya, isu bekalan beras tempatan di sini tidak memberi impak besar berbanding dengan negeri lain.-UTUSAN










