Adlan dipercayai pernah berada di New Zealand, Australia

Adlan dipercayai pernah berada di New Zealand, Australia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keberadaan menantu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seorang peguam masih belum dapat dikesan meskipun kedua-duanya dipercayai pernah berada di New Zealand selepas meninggalkan negara ini Mei lalu atas urusan perniagaan.

Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan sebelum ini dipercayai pernah berada di New Zealand dan ada juga maklumat mengatakan lokasi keberadaan beliau di Australia dan Dubai, Emiriah Arab Bersatu sebelum ini.

“Sekarang, tidak pasti beliau berada di mana,” kata sumber itu secara ringkas.

Pada 25 Ogos lalu, Utusan Malaysia melaporkan nama Muhammad Adlan, 48, dan seorang peguam Mansoor Saat, 69, disenaraikan individu dikehendaki selepas dikenakan notis merah oleh Polis Antarabangsa (Interpol).

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan notis merah itu dikenakan selepas kedua-duanya ma­sih belum pulang bagi membantu siasatan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam pada itu, berdasarkan rekod imigresen, Muhammad Adlan dipercayai keluar dari negara ini melalui Johor Bahru ke sebuah negara jiran.

Beliau kemudian dipercayai bergerak ke sebuah lagi negara lain dari situ.

Pada 15 Ogos lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima permohonan notis merah secara lisan daripada SPRM terhadap kedua-dua mereka.

Kedua-dua mereka disiasat SPRM berkaitan kes penyelewengan projek pendaftaran pengambilan dan pe­nyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengumumkan permohonan notis merah Interpol terhadap dua individu berkenaan selepas dipercayai melarikan diri ke luar negara.

Namun, Muhammad Adlan pada 9 Ogos lalu menafikan be­liau meninggalkan Malaysia dan keluar secara sah selain me­negaskan tidak pernah ditangkap atau dipanggil SPRM untuk membantu siasatan.

Selain Muhammd Adlan, peguam Mansoor yang juga sedang dicari SPRM menyangkal dakwaan beliau melarikan diri daripada menghadapi siasatan.

Mansoor sebaliknya mene­gaskan beliau bukan pelarian dan tidak melarikan diri serta sudah memberikan kerjasama kepada SPRM yang mengetahui keberadaannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN