'Ada enam hari lagi boleh bangkitkan isu DNAA Zahid' - Johari  - Utusan Malaysia

‘Ada enam hari lagi boleh bangkitkan isu DNAA Zahid’ – Johari 

JOHARI ABDUL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menjelaskan ‘ruang dan peluang’ yang dimaksudkan kepada pembangkang untuk bercakap mengenai kes melepas tanpa membebaskan (DNAA)  Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid di Dewan Rakyat  tiada had kepada empoh waktu tertentu khususnya pada hari pertama Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, semalam. 

Beliau berkata, kesemua ahli parlimen masih mempunyai baki beberapa hari sepanjang Mesyuarat Khas Dewan Rakyat untuk menyentuh perkara itu. 

“Saya sebut semalam kepada Arau dan Machang, ya saya akan beri ruang. Saya tahu, ini (kes Ahmad Zahid) isu politik dan masyarakat juga mahu tahu. Tetapi, selepas Perdana Menteri membahaskan (berkenaan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). Tetapi, tidak bermaksud ruang saya beri itu semalam. 

“Selepas hari ini, bermakna ada enam hari lagi. Esok, lusa, tulat anda boleh bercakap mengenainya. Saya tidak akan hentikan apabila isu ini dibangkitkan. Maknanya, Arau dan Machang boleh bangun dan cakaplah. 

“Saya tidak akan hentikan, terpulang. Tetapi, jangan desak saya dengan kenapa tidak hari ini (semalam)?,” jelas Johari di Dewan Rakyat hari ini. 

Semalam, Johari menolak usul tergempar dikemukakan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, bagi memberi laluan kepada Peguam Negara menjelaskan keputusan DNAA kepada Timbalan Perdana Menteri berhubung pertuduhan rasuahnya. 

Bagaimanapun, Johari berkata, beliau akan memberi ruang kepada pembangkang untuk bercakap mengenai hal itu selepas selesai berucap mengenai RMK12.  

Keadaan itu menimbulkan  tidak puas hati ahli parlimen pembangkang dengan diketuai Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang mendesak supaya usul itu diterima dan dibahas.  

Dalam sidang media pembangkang semalam, mereka mendakwa Johari tidak mengotakan janjinya yang sebelum itu mahu ‘memberi ruang’ untuk berbincang mengenai usul tergempar Wan Ahmad Fayhsal. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN