50,000 peluang pengajian TVET buat generasi baharu Felda - Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

50,000 peluang pengajian TVET buat generasi baharu Felda – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID Hamidi (tiga dari kanan) menyampaikan skim faedah Perkeso kepada seorang penerima pada Karnival Kerjaya MyFuture Jobs bersama Hawa Malaysia di Dataran Ilmu Felda Chemomoi, Pelangai di Bentong, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebanyak 50,000 tempat disediakan kepada generasi baharu Felda untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, peluang melanjutkan pengajian itu terbuka di 1,334 institusi pengajian tinggi TVET yang melibatkan 12 kementerian.

“Saya berbisik dengan Pengerusi Felda tadi apa yang boleh saya bawakan untuk anak Felda, beliau minta saya menyediakan tempat untuk anak-anak Felda generasi ketiga, generasi keempat dan kini telah ada generasi kelima.

“Saya ingin umumkan bahawa sehingga 50,000 tempat untuk anak-anak Felda dari generasi kedua, ketiga, keempat, kelima untuk memasuki institusi-institusi TVET ini,” katanya ketika berucap pada Karnival Kerjaya MyFuture Jobs bersama Hawa Malaysia di Dataran Ilmu Felda Chemomoi di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kursus-kursus yang disediakan adalah yang dapat disesuaikan dengan kehendak guna tenaga negara berdasarkan kepada keperluan industri semasa.

Katanya, pelbagai pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO Malaysia (HAWA) juga dijemput untuk sama-sama berganding bahu bagi mewujudkan kursus yang bersesuaian dengan kehendak industri dan pasaran.

Beliau memberitahu, Human Resources Developement Corporation (HRD-Corp) yang diperuntukkan sebanyak RM1.8 bilion akan menjalinkan kerjasama bagi menyediakan kursus-kursus terbaik.

“Umpama kalau mahu terlibat dalam bidang resort atau bidang insurans atau bidang-bidang lain pada hemat saya kursus disediakan sesuai kehendak pasaran dan saya telah adakan perbincangan dengan Pengerusi Mara yang sangat proaktif dalam melaksanakan program baharu disesuaikan kehendak semasa,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, komitmen Yayasan Felda yang menyediakan perkhidmatan dialisis juga menyediakan banyak peluang pekerjaan.

“Saya ingin tawar anak Felda yang mahu bekerja di pusat dialisis untuk mengambil kursus pengendalian mesin dialisis dan insya-Allah mana-mana anak Felda yang berhasrat bekerja di pusat dialisis beritahu pejabat pengerusi Felda,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya