Zulkifli mahu kembalikan keseimbangan ekonomi - Utusan Malaysia

Zulkifli mahu kembalikan keseimbangan ekonomi

ZULKIFLI JAAFAR (kanan) membantu jenteranya memasang bendera di PDM Bukit Indah, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar berhasrat untuk mengembalikan keseimbangan ekonomi dan kesejahteraan rakyat sekiranya diberi mandat oleh pengundi sebagai wakil rakyat.

Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulai berkata, perkara itu menjadi tumpuan utamanya setelah mendengar pelbagai permasalahan yang diluahkan penduduk kawasan tersebut.

Menurutnya, permasalahan rakyat saling berkaitan dan membentuk rantaian yang menjejaskan pelbagai pihak termasuk pencari nafkah, golongan peniaga dan masyarakat.

“Antara permasalahan yang kerap didengari ialah kos sara hidup dan harga barang yang mahal. Jika seseorang itu berpendapatan rendah, mereka tidak ada kuasa beli dan peniaga terjejas, ia saling berkait.

“Saya tak mahu menjanjikan bulan dan bintang, namun jika diberikan mandat, maka itulah perkara  yang saya tangani. Jika ekonomi dapat diseimbangkan, kesejahteraan rakyat akan dapat dicapai.

“Keseimbangan ekonomi dan kesejahteraan rakyat ini merupakan perkara yang merangkumi semua aspek kehidupan, inilah yang saya akan cuba perjuangkan,” katanya ditemui pada Program Ramah Mesra Bersama Jentera Pusat Daerah Mengundi (PDM) di PDM Bukit Indah, di sini hari ini.

Zulkifli bersama-sama jenteranya akan berusaha menggali lagi isu rakyat yang membelenggu penduduk setempat, sekali gus mencari ikhtiar dan jalan terbaik menyelesaikan isu itu.

Dalam pada itu, beliau berpuas hati dengan sokongan yang diberikan sepanjang tempoh berkempen setakat ini, namun  perlu bekerja lebih kuat untuk mendapat kepercayaan pengundi.

“Alhamdulillah, setakat ini, saya sudah pergi ke 19 daripada 40 PDM dalam kawasan Parlimen Pulai ini. Perjalanan masih jauh dan ada kawasan yang perlu saya masuk termasuk kawasan hitam.

“Sukar untuk tafsirkan sokongan pengundi di sini, khususnya pengundi Cina, apa yang penting kita perlu kerja keras dalam tempoh yang berbaki.

“Pendekatan yang saya gunakan sepanjang tempoh berkempen ialah untuk mengingatkan penduduk setempat tentang kepentingan keluar mengundi kepada golongan muda atau yang sudah berusia,” katanya.

Beliau mengharapkan peratusan keluar mengundi lebih tinggi berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), iaitu kira-kirq 43 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN