Zulkifli fokus selesai isu setempat

Zulkifli fokus selesai isu setempat

ZULKIFLI Jaafar ketika mengadakan walkabout di sekitar Kempas sempena Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Walaupun pertama kali terjun ke gelanggang pilihan raya, namun calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar, 50, tampak tidak kekok ketika turun berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai.

Anak jati Pulai itu nyata cukup masak mengenai selok-belok kawasan berkenaan dan bertekad memanfaatkan tempoh berkempen dengan sebaiknya dan memberi fokus terhadap keseimbangan dan kesejahteraan rakyat di kawasan itu.

“Insya-Allah, masa berkempen dalam tempoh 14 hari ini mencukupi kerana kita sudah bergerak sebelum ini lagi. Pelbagai lapisan masyarakat telah didekati, saya rasa itu amat membantu.

“Saya akan cuba menggunakan masa dari pagi sehingga malam untuk berjumpa pengundi supaya mereka lebih kenal diri saya, ini supaya mereka dapat gunakan kuasa mengundi dengan tepat.

“Kita akan dengar mereka, tanya apa masalah dan kita akan fikir cara selesaikannya. Saya sudah biasa berjumpa orang, kadang-kadang terima panggilan tengah malam untuk minta bantuan,” katanya semasa melakukan walkabout di sekitar Kempas, di sini.

Zulkifli yang juga Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulai berkata, tumpuannya lebih terarah untuk membantu masyarakat menyelesaikan isu setempat yang membelenggu kehidupan penduduk di kawasan terbabit.

Jelasnya, peranan beliau dalam PRK kali ini bukan sekadar membawa nama parti, sebaliknya meneruskan legasi mentornya, iaitu Menteri Besar Johor ke-16, Allahyarham Datuk Osman Sapian.

Beliau akan menggunakan pengalaman sebagai ahli perniagaan dalam bidang logistik dan pengangkutan untuk membantu rakyat meningkatkan taraf ekonomi menerusi perniagaan.

“Saya nak tumpu perkara yang jelas dan nyata, tiada guna bercakap benda yang gah tetapi benda depan mata macam tembok pecah tak boleh dibaiki, tak guna. Ini yang saya ingin fokuskan untuk melancarkan hidup penduduk,’’ katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN