YBR salur BAP berjumlah RM237,000

YBR salur BAP berjumlah RM237,000

SYAIFUL Rizal Abdul Ghani (kanan) meluangkan masa bertanya khabar selepas menyerahkan Bantuan Awal Pengajian (BAP) kepada pelajar cemerlang Fatin Nur Aqilah Mat Soom pada Majlis Penyerahan Sumbangan Yayasan Bank Rakyat (YBR) di rumahnya di Kampung Chuchoh Puteri,Kuala Krai, Kelantan semalam. UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI : Yayasan Bank Rakyat (YBR) sudah menyalurkan peruntukan sebanyak RM237,000 menerusi Bantuan Awal Pengajian (BAP) bagi membantu pelajar dari keluarga B40 untuk menyambung pelajaran di insti­tusi pengajian tinggi awam (IPTA) mahupun di insti­tusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Pengurus Besarnya Syaiful Rizal Abdul Ghani, sejak Januari hingga semalam seramai 678 pelajar di seluruh negara telah menerima bantuan secara ‘one off’ antara RM400 hingga RM1,000 setiap seorang.

“Jumlah bantuan itu bergantung kepada kriteria dan keperluan pelajar berkenaan.

“Untuk BAP ini, kita kenal pasti pelajar menerusi kerjasama YBR dengan pihak universiti. Selain itu, YBR turut memberikan bantuan secara terus kepada pelajar terpilih,”katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Sumbangan di Kampung Chuchoh Puteri, di sini semalam.

Pada majlis berkenaan, YBR telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM1,000 kepada Fatin Nur Aqilah Mat Soom, 18, seorang anak penoreh getah yang telah mendapat keputusan cemerlang 5A di dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Syaiful Rizal memberitahu, inisiatif yang dilaksanakan oleh YBR ini diharap dapat menggalakkan semua pihak termasuk ahli-ahli korporat untuk turut sama membantu golongan memerlukan.

Katanya, menerusi bantuan ini juga ia dapat membuka mata masyarakat supaya sentiasa mencari jalan yang terbaik untuk kepentingan pendidikan anak-anak.

“Ia adalah sesuatu yang menyedihkan bila kita tengok pelajar yang tidak berkemampuan untuk meneruskan pengajian disebabkan oleh kekangan hidup dan oleh sebab itu YBR ada menyediakan bantuan dari segi bantuan awal dan pembiayaan.

“Diharapkan bantuan berkenaan dapat digunakan sebagai permulaan untuk memulakan pengajian atau sebagai kegunaan menguruskan kelengkapan yang diperlukan untuk meneruskan pengajian,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang anak penoreh getah dari Kampung Chuchoh Puteri, Fatin Nur Aqilah Mat Soom, 18, terpaksa menolak tawaran melanjutkan pengajian ke peringkat universiti disebabkan kekangan kewangan.

Fatin Nur Aqilah berkata, selepas ayahnya, Mat Soom Abu Bakar meninggal dunia pada 2019 disebabkan sakit jantung, kini ibunya, Moraini Ismail, 52, menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan bekerja mengambil upah menoreh getah.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya