Video tular, lelaki Myanmar didakwa cabul nenek 71 tahun

Video tular, lelaki Myanmar didakwa cabul nenek 71 tahun

MOHAMMAD Jubair Musi Ullah (tengah) tiba di Mahkamah Majistret Ampang diiringi anggota polis bagi menghadapi pertuduhan mencabul dan dadah. -UTUSAN/FARIZWAN HASBULLAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Seorang tukang sapu warganegara Myanmar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang dekat sini atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita warga emas berusia 71 tahun, minggu lalu.

Video kejadian yang didakwa itu kemudian tular dalam laman sosial pada 4 Ogos iaitu dua hari selepas tertuduh diberkas polis.

Mohammad Jubair Musi Ullah, 23, yang juga pemegang  kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) turut menghadapi pertuduhan memastikan dadah jenis Ketamine ke dalam badannya.

Tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang bekerja sebagai pengutip kotak pukul 3.30 petang, 2 Ogos lalu di hadapan sebuah premis menjual peralatan membuat kek di Taman Muda, Ampang.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan dadah, Mohammad Jubair didakwa melakukan perbuatan itu pukul 9 malam, hari yang sama di tandas Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000  dan penjara maksimum dua tahun.

Majistret Amalina Basirah Md. Top membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani agar tertuduh dilarang jamin.

Mahkamah menetapkan 23 Oktober ini untuk sebutan kes bagi melantik peguam, penyediaan laporan kimia dan serahan dokumen.

Pada 5 Ogos lalu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu berlaku ketika mangsa berusia 71 tahun mengumpul kotak terpakai untuk dijual.

Menurutnya, suspek tiba-tiba menghampiri wanita itu dan bertindak meraba paha mangsa.

“Mangsa telah menegur perbuatan itu namun suspek terus melakukannya. Suspek kemudian membuka seluar dan baju lalu  memegang kemaluan sebelum menunjukkannya kepada mangsa.

“Setelah itu, suspek memeluk mangsa dari arah belakang menyebabkan mangsa menjerit meminta bantuan sebelum ditahan oleh orang awam yang datang membantu,” katanya dalam kenyataan.
Ujar beliau, suspek yang merupakan pemegang kad UNHCR turut  didapati positif dadah selain mempunyai dua rekod lampau atas kesalahan narkotik. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya