UiTM Pahang terima tajaan RM500,000 latih pelajar bidang keusahawanan - Utusan Malaysia

UiTM Pahang terima tajaan RM500,000 latih pelajar bidang keusahawanan

SALMIAH Kasolang (dua kanan) menunjukkan kemahiran solekan sempena pelancaran projek Asnafpreneur di UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka di Maran, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Khazanah Alam Jengka di sini menjadi perintis projek Asnafpreneur melatih 70 pelajar asnaf dalam bidang keusahawanan yang merangsang kebolehpasaran graduan dan mengurangkan pengangguran.

Penolong Naib Canselor, Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) UiTM, Profesor Dr. Salmiah Kasolang berkata, program ini mendapat geran industri sebanyak RM500,000 daripada dana zakat tajaan Unit Pengurusan Wakaf dan Zakat Maybank Islamic Berhad.

Menurutnya, penuntut dari keluarga asnaf menjadi perintis projek mengikuti latihan dalam bidang kemahiran perkhidmatan spa, dandanan dan gunting rambut serta urutan sukan yang mampu menjana pendapatan sendiri dan keluarga.

“Mereka menjalani kursus teori, praktikal dan ujian berbekalkan modul latihan yang konfrehensif sejak Disember 2022. Pelajar dipilih wajib memiliki pointer Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) cemerlang lebih 3.0 serta mempunyai minat dan komitmen dalam bidang perniagaan,” katanya selepas merasmikan pelancaran Projek Asnafpreneur UiTM Cawangan Pahang dan Maybank Islamic di Dewan Al-Biruni 1 UiTM Cawangan Pahang Kampus Khazanah Alam Jengka di sini.

Salmiah berkata, program ini secara langsung mendokong Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan yang unggul menjelang 2030.

Tambah beliau, program pembentukan jiwa keusahawanan ini turut diadakan di 34 Kampus UiTM seluruh negara dengan tajaan dan berkolaborasi dengan bank tempatan dan korporat lebih RM2 juta.

Tegasnya, UiTM melalui MASMED menjadikan keusahawanan sebagai salah satu agenda utama universiti selaras hasrat menjadikan institusi pengajian tinggi (IPT) itu sebuah universiti terkemuka di dunia yang melahirkan usahawan berijazah.

Tambah beliau, projek ini juga dapat mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif bagi menyokong agenda pembangunan sosioekonomi Malaysia yang inklusif, seimbang dan mapan.

“Pendedahan terhadap ilmu keusahawanan secara teori dan praktik mampu mencorakkan pemikiran keusahawanan dalam kalangan siswa dan siswa.

“Kepelbagaian kemahiran memberi nilai tambah dari segi kebolehpasaran graduan yang berkemahiran tinggi bukan sahaja dalam akademik malah kemahiran pelbagai,” katanya. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.