JOHOR BAHRU: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat menafikan terdapat penolakan dalam kalangan jentera Barisan Nasional (BN) terhadapnya yang bertanding di kawasan tersebut pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 9 September ini.
Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu berkata, hal itu tidak berlaku ketika beliau turun berkempen di sekitar kawasan Pulai sejak semalam dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi juga turut membantu menjelaskan perkara tersebut dalam kalangan akar umbi dan cawangan parti untuk bekerjasama dengan jentera PH.
“Terima kasih kepada Menteri Besar Johor yang telah memberikan sokongan kepada saya dan juga memberikan penjelasan yang diperlukan oleh peringkat cawangan. Penjelasan itu saya kira telah dapat diterima dengan baik oleh cawangan ini untuk menangkis satu pandangan bahawa tidak perlunya membantu calon daripada parti yang lain selain daripada BN.
“Menteri Besar telah menjelaskan tentang keperluan dan rasional kenapa perlunya sokongan itu untuk membentuk satu kestabilan kerajaan perpaduan pimpinan PH dan BN,” katanya selepas bertemu jentera BN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Danga, di sini hari ini yang turut dihadiri Onn Hafiz dan Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Terdahulu, bertebaran khabar angin berkaitan terdapat penolakan dalam kalangan cawangan-cawangan UMNO Bahagian Pulai terhadap calon PH.
Sebelum ini, tular dalam media sosial gambar kain rentang yang dipercayai dipasang di kawasan Pulai yang menyampaikan mesej penolakan itu.
Mengulas lanjut, Suhaizan berkata, perbuatan itu bukan tindakan orang UMNO, namun propaganda yang dimainkan oleh pihak lain untuk menunjukkan seolah-olah timbul rasa tidak puashati di peringkat akar umbi UMNO.
“Saya ingin memaklumkan bahawa yang menurunkan ‘banner-banner’ itu adalah sahabat daripada UMNO sendiri, itulah yang menunjukkan bahawa bukan mereka yang buat tetapi ada pihak lain yang cuba melakukan provokasi.
“Kalau ada penolakan, jadi bagaimana kita boleh ada pertemuan di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat itu, saya rasa dakwaan itu tidak benar,” katanya.
PRK tersebut diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.
Parlimen Pulai mempunyai seramai 167,108 pengundi yang terdiri daripada 74,814 pengundi Melayu (44.17%), Cina 67,635 (40.48%), India 20,555 (12.30%) serta Lain-lain kaum 5,104 (3.05%). -UTUSAN