Tempuh 392 kilometer, lapan jam dari Segamat pulang ke

Tempuh 392 kilometer, lapan jam dari Segamat pulang ke Terengganu demi mengundi

MUHAMAD Mufarizam Yahir pulang ke kampung halaman sejauh 392 kilometer dari Segamat ke Kuala Terengganu bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Kuala Terengganu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Seorang perantau dari Segamat sanggup menempuh perjalanan sejauh 392 kilometer selama lapan jam untuk pulang ke kampung halaman di Kuala Terengganu bagi menunaikan tanggungjawab mengundi hari ini.

Bagi Muhamad Mufarizam Yahir, 40, dia sanggup pulang ke Kuala Terengganu kerana tahu betapa pentingnya satu undi bagi memilih pemimpin yang akan menggalas tanggungjawab di kawasan kampung halamannya.

“Saya balik kampung sebab mak saya suruh balik mengundi (sambil ketawa kecil). Insya-Allah semuanya selamat. Saya perantau Segamat, Johor pulang mengundi di Parlimen Kuala Terengganu (P.036) dan DUN Bandar (N.14). 

“Ini adalah tanggungjawab kita dan ia wajib ditunaikan. Satu undi amat berharga bagi kita memilih pemimpin yang layak untuk mengubah nasib kampung halaman kita kepada yang lebih baik.

“Doakan perjalanan saya selamat pergi dan balik dan dipermudahkan segala urusan,”katanya ketika di temui di Bandar IOI, di sini.

Tambah Mufarizam, perjalanan yang mengambil masa kira-kira lapan jam itu sangat mencabar apabila berdepan dengan kesesakan lalu lintas di Kelulut, Marang hampir dua jam.

Dia yang juga merupakan pekerja sebuah syarikat swasta di Segamat mengambil keputusan tidak menukar alamat tempat mengundi kerana mahu memilih pemimpin di kawasan tempatnya dibesarkan.

“Siapa yang lebih arif tentang kampung saya (Kampung Lorong Makam Lama Chabang Tiga, Kuala Terengganu) jika anak jati kampung ini semuanya menukar alamat mengundi di tempat mereka bermastautin? 

“Ramai orang lama di sini sudah meninggal dunia. Dalam masa yang sama pengundi menjadi berkurangan di sini, jadi saya rasa terpanggil untuk terus berbakti (mengundi) di sini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 kali ini menyaksikan pertembungan dua penjuru di Parlimen Kuala Terengganu (P.036) antara Mohd Azan Ismail (PH-PKR) dan Ahmad Amzad Hashim (PN-PAS) dengan jumlah pengundi seramai 123,575 orang di parlimen tersebut.

Sementara itu, seramai 22,057 orang pengundi bagi DUN Bandar (N.14) di mana pertembungan tiga penjuru antara penyandang Ahmad Shah Mohamed (PN-PAS), Armi Irzan Mohd (BN) dan Luqman Long (MUDA).

Lebih 9.67 juta pemilih berdaftar layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri hari ini bagi memilih wakil rakyat di kawasan masing-masing.

Turut diadakan hari ini adalah hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.

Kesemua pusat pengundian di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan termasuk di Kuala Terengganu dijadual dibuka serentak bermula 8 pagi dan ditutup pada 6 petang ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN