Suhaizan yakin cubaan ketujuh beri kemenangan - Utusan Malaysia

Suhaizan yakin cubaan ketujuh beri kemenangan

SUHAIZAN KAYAT mengetuai konvoi motosikal yang diadakan penghuni PPR Kempas Permai, Johor Bahru sempena Hari Kebangsaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat yakin percubaan ketujuhnya sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 9 September ini akan beroleh kemenangan.

Menurutnya, keyakinan itu bersandarkan pelbagai faktor termasuk sokongan diterima daripada kepimpinan tertinggi negara dan masyarakat akar umbi.

“Sokongan masyarakat terhadap kempen saya kali ini sangat luar biasa, saya tidak pernah dapat sambutan seperti ini dahulu. Saya kira ini kesan daripada hubungan muafakat kerajaan perpaduan antara PH dan Barisan Nasional (BN).

“Memang kali ketujuh bertanding ini perasannya lebih meyakinkan, Insya-Allah boleh menang kali ini. Siasatan kami adalah kemenangan dengan majoriti yang lebih besar berbanding sebelum ini,” katanya ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Kemerdekaan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai, di sini hari ini.

Suhaizan yang juga Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor memberitahu, bagi memastikan kempen lebih berkesan, beliau menggerakkan dua kaedah kempen.

“Satu kaedah digunakan adalah dengan mengadakan lawatan ke kawasan-kawasan tertentu selain adakan ceramah bagi memberikan penjelasan tentang sesuatu isu, manakala kaedah kedua adalah kempen pada skala lebih kecil.

“Itu bermakna kempen dari rumah ke rumah dan perkara ini sedang digerakkan oleh jentera kami, iaitu sayap Wanita Amanah sambil turut dibantu sayap Wanita UMNO.

“Menerusi kaedah ini, jentera akan dapat memahami lebih dalam keperluan rakyat secara peribadi, sekiranya mereka perlukan bantuan daripada aspek kebajikan ia boleh dilaksanakan dengan segera,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut berharap perjalanan kempen politik sempena PRK Parlimen Pulai tidak menjejaskan semangat patriotik dalam menyambut hari kebangsaan negara.

“Walaupun berpolitik, tetapi penting untuk kita tanamkan rasa cinta dan sayang kepada negara, khususnya kepada generasi muda serta kanak-kanak yang masih kecil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya