JOHOR BAHRU: Status sebagai orang luar bukan penghalang bagi calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Samsudin Mohamad Fauzi untuk meraih undi, sekali gus meneruskan impiannya menjadi wakil rakyat mewakili negeri ini.
Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) itu berkata, sentimen tersebut tidak seharusnya menjadi pertimbangan oleh pengundi di Pulai, sebaliknya menilai dari segi tawaran serta perancangan yang ingin dilakukannya.
Menurutnya, ramai tidak mengetahui beliau merupakan anak kelahiran Kluang selain mempunyai ahli keluarga di sini.
“Saya yakin golongan pengundi di Parlimen Pulai ini mampu berfikiran secara terbuka serta memahami dan mendalami perjuangan saya. Perjuangan saya ini bukan bertujuan mengejar kuasa atau kedudukan, sebaliknya bagi membawa suara rakyat berbilang bangsa di peringkat Pusat,” katanya ditemui ketika berkempen di kawasan Tampoi di sini hari ini.
Samsudin yang bertanding menggunakan logo kunci akan berdepan calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar dan calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat pada PRK Parlimen Pulai, 9 September ini.
Walaupun tidak dibantu dengan jentera yang besar, Samsudin tekad untuk menawan Parlimen Pulai seterusnya menjadi Ahli Parlimen yang berkesan dengan latar belakang pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Seperti kebanyakan rakyat, saya juga muak dengan ahli politik yang sibuk berebut jawatan dan kedudukan sedangkan banyak isu pengguna termasuk soal keselamatan rakyat yang boleh dibincangkan ke Parlimen.
“Perkara ini saya sedari ketika berkempen, apabila mengedar risalah, pengundi lebih terbuka apabila mengetahui saya berlatarbelakangkan pengalaman dalam NGO.
“Jelas kebencian mereka terhadap perjuangan parti politik meningkat kerana ramai yang mendakwa terkesan dengan isu kenaikan harga barang dan sebagainya,” katanya.
Beliau akan menggunakan pengalamannya bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 di Parlimen Putrajaya, sebaiknya ketika berkempen untuk PRK Parlimen Pulai.
“Pada pengalaman pertama dahulu, saya berdepan pelbagai kekangan berikutan bahan kempen hanya siap beberapa hari sebelum hari mengundi. Namun kali ini semuanya lancar, ramai pengundi juga mengikuti perkembangan saya dalam media sosial dan memberi semangat,” katanya. – UTUSAN