Sindiket judi tawar pertaruhan RM100,000 terbongkar, 3 ditahan

Sindiket judi tawar pertaruhan RM100,000 terbongkar, 3 ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kegiatan satu sindiket judi dalam talian yang beroperasi di sebalik kondominium mewah di tengah-tengah ibu negara terbongkar selepas lokasi berkenaan digempur polis pada 5 Ogos lalu.

Kondominium yang disewa dengan kadar bayaran RM7,000 sebulan dan terletak di Jalan Kian Peng  itu dijadikan pusat panggilan judi selain dijadikan markas kaki judi menjalankan aktiviti mereka.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Delhan Yahaya berkata, menerusi serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 6.30 petang itu, tiga lelaki warga asing berusia 50 sehingga 60 tahun ditahan. 

Kata beliau, kediaman mewah itu dijadikan tempat menjalankan promosi, menerima dan memindahkan wang pertaruhan yang diterima daripada pelanggan tanpa bersemuka dan semua transaksi di alam maya.

“Hasil serbuan itu, kita merampas pelbagai kelengkapan yang digunakan untuk menjalankan kegiatan perjudian dalam talian,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, sindiket ini dikesan menggunakan laman web my.ballysbet.com sebagai platform untuk mempromosikan judi dalam talian. 

Kata beliau, pemain akan diminta mendaftar masuk dalam laman web berkenaan sebelum membuka satu akaun baharu kepada pelanggan dengan memberikan ID dan kata laluan.

“Sindiket ini juga menawarkan jumlah pertaruhan minimum sebanyak RM100,000 bagi satu permainan.

“Kita (polis) juga mengesyaki seorang daripada suspek yang ditahan mempunyai hubungan dengan sindiket perjudian di luar negara,” jelasnya.

Noor Dellhan berkata, dua daripada suspek menggunakan pas lawatan sosial manakala seorang lagi suspek menggunakan visa untuk mendapatkan rawatan kesihatan di negara ini.

“Dua suspek disambung direman sehingga 9 Ogos ini manakala rakan mereka sudah dibebaskan semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(c) Akta Judi Rumah Terbuka 1953,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN