SEPANG: “Saya tidak pernah telefon tauke judi untuk minta duit,” kata Datuk Seri Amirudin Shari menafikan dakwaan Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Che’gu Bard kelmarin.
Amirudin yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua menjelaskan, dakwaan yang mengaitkannya dengan Berjaya Land Bhd. milik taikun Tan Sri Vincent Tan dalam isu skandal tanah RM10 bilion adalah tidak betul.
“Sebab apa mahu bangkitkan sekarang, isu itu sudah sampai ke akar umbi dan saya sudah terangkan prosesnya, malah tiada penyelewengan dan skandal.
“Mereka tuduh kita ada kerjasama dengan syarikat tauke judi. Saya ingin jelaskan bahawa yang minta itu bukan kita, sebaliknya mereka,” katanya ketika berucap pada siri Ceramah Kita Selangor di Dataran Sadiman, Bukit Changgang di sini, malam tadi.
Menurutnya, sebelum ini, Yang Dipertua Pas Tanjung Karang, Dr. Mohd. Zamri Mohd Zainuldin dalam ceramah pernah mengakui mereka meminta derma daripada Vincent.
“Dia cakap terbuka dalam ceramah. Dalam ucapannya, dia cakap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang jarang telefon orang, dia telefon Vincent minta derma pilihan raya. Halal terus duit Vincent,” katanya.
Sebelum ini, Chegubard membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pemberian projek bernilai RM700 juta tanpa tender oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada syarikat dimiliki taikun terkemuka.
Chegubard juga mendakwa akan mendedahkan salinan surat sulit Kerajaan Negeri Selangor dalam skandal tanah RM10 bilion dan projek tanpa tender RM700 juta yang boleh dinyahklasifikasi apabila terbentuknya kerajaan baharu selepas pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti.
Sementara itu, Amirudin berkata, beliau tetap meneruskan saman terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor susulan kenyataan berunsur fitnah dan tidak benar mengenai Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).
“Insya-Allah, peguam saya sedang teliti dan paling lewat, Khamis ini mereka akan terima surat saman itu,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat Rakyat di Gombak, semalam. – UTUSAN










