BUKIT MERTAJAM: Sekolah menengah harian disaran mewujudkan satu kursus teknikal bagi mengimbangi subjek akademik.
Lepasan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), Mohd. Shahrin Abdull Aziz, 39, berkata, ia perlu bagi memenuhi permintaan tinggi lulusan teknikal dan kemahiran dalam pasaran kerja.
Mohd. Shahrin yang pernah mengikuti Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 1 dan 2 dalam bidang mekanik kenderaan di sebuah kolej swasta di sini berkata, khusus tersebut bagaimanapun tidak perlu terlalu mendalam seperti yang ditawarkan di kolej vokasional.
“Sekurang-kurangnya apabila pelajar-pelajar ini habis sekolah, mereka akan ada dua-dua iaitu pendidikan (akademik) dan kemahiran (teknikal).
“Bagi saya, subjek Kemahiran Hidup yang diajar di sekolah-sekolah menengah ketika ini tidak memadai kerana tidak diselitkan dengan kursus yang mendapat permintaan tinggi seperti asas binaan dan automotif,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Mohd. Shahrin berkata, sebagai lepasan TVET, pelajar juga tidak seharusnya terlalu memilih pekerjaan dan bersedia untuk bermula dari bawah.
“Kalau gaji rendah untuk permulaan itu bagi saya tidak perlu dipertikaikan sebab majikan sendiri pun belum tahu tahap kemahiran pekerja mereka. Insya-Allah, lama-lama gaji itu akan naik,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi lepasan TVET Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) di sini, Abdul Malik Rafie, 30, turut berharap kursus teknikal dan kemahiran diperluaskan.
“Sekarang jika kita ada tahap akademik yang rendah tapi ada kemahiran (teknikal) yang tiada pada orang lain, ramai orang perlukan khidmat kita.
“Saya nasihatkan kepada yang masih belajar supaya lengkapkan diri dengan kemahiran terutamanya dalam bidang teknikal kerana ia boleh menjamin masa depan,” katanya yang kini bertugas sebagai kontraktor pendawaian elektrik.
Sementara itu, bekas pelajar Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bachok, Kelantan, Siti Rashima Mazlan, 33 berkata, kursus yang ditawarkan institusi tersebut menjamin kebolehpasaran pekerjaan yang berdaya saing.

Katanya, pelajar yang mengikuti kursus TVET akan diberi pendedahan secara menyeluruh dari segi praktikal dan teori oleh tenaga pengajar yang berpengalaman dan arif dalam bidang masing-masing.
“Saya mengambil kursus Sijil Lukisan Seni Bina sekitar tahun 2007 dan 2008. Tidak dinafikan sebelum ini pengetahuan dan kemahiran dalam mempelajari subjek tersebut tidaklah begitu meluas sehinggalah kami diberi pendedahan dengan menyeluruh mengenai subjek tersebut oleh tenaga pengajar yang berpengalaman dan berkelayakan.
“Malah, ada dalam kalangan kami (pelajar) kini sudahpun bergelar arkitek dan pelukis pelan,” katanya. – UTUSAN










