PETALING JAYA: Pelarian Rohingya tidak lagi memasuki Malaysia melalui laut secara besar-besaran sebaliknya melalui Thailand dan diseludup masuk melalui laluan darat secara berperingkat.
Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Mohd. Rosli Abdullah (gambar) berkata, sebelum ini modus operandi mereka akan membawa masuk Rohingya ini secara terus ke Malaysia melalui laluan laut.
Menurutnya, bagaimanapun selepas penguatkuasaan yang lebih serius dan operasi kerap diadakan bagi menjaga sempadan perairan negara daripada diceroboh, mendapati sindiket sudah mula mengubah modus operandi ke arah lain.
“Antaranya mereka mengubah modus operandi dengan terlebih dahulu datang ke Thailand dan berada di sana dalam tempoh beberapa waktu sebelum masuk ke Malaysia melalui sempadan darat dan bukan lagi laut.
“Kita ada maklumat mereka kini masuk ke Thailand dalam skala kecil malah ke Thailand juga ada yang masuk mengikut laluan sungai sempadan Myanmar Thailand,” katanya kepada media di sini semalam.
Beliau berkata, dalam kes tangkapan di Pulau Pinang baru-baru ini mereka yang ditahan ketika disoal siasat mendakwa masuk ke negara ini melalui Thailand.
“Dalam tangkapan lapan orang di Kelantan pada 24 Jun lalu, mereka juga transit di Thailand dan masuk melalui sempadan darat di Kelantan sebelum ditahan APMM.
“Ada beberapa faktor mereka tetap cuba masuk ke negara ini kerana negara asal yang tidak selesa lagi untuk tinggal selain konteks ekonomi Malaysia serta demografi yang mana ada komuniti mereka di sini menyebabkan mereka ingin masuk ke sini,” jelasnya. – UTUSAN










