Remaja, warga emas ditemukan lemas - Utusan Malaysia

Remaja, warga emas ditemukan lemas

ANGGOTA bomba melakukan pencarian mangsa yang lemas dalam kejadian di Sungai Simen, Jalan Rantau Ladang Kombok, Rantau, Seremban malam tadi.-GAMBAR/IHSAN BOMBA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua orang lelaki termasuk seorang remaja ditemukan lemas dalam kejadian di Sungai Simen, Jalan Rantau Ladang Kombok, Rantau di sini malam tadi.

Kedua-dua mangsa di kenali sebagai A.Vijay, 16,  beralamat di Ladang Kombok G. Chanthiran, 60, dari Taman Bukit Merbok Ria, Rasah di sini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau, Pegawai Bomba Kanan 1, Mohd. Syazwan Saidy berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian pada pukul 8.07 malam. 

“Seramai 10 anggota dari Balai dan Penyelamat Rantau dan 10 anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) telah dikejarkan ke lokasi.

“Mangsa pertama iaitu remaja berkenaan telah ditemukan oleh orang awam pada pukul 10.16 malam manakala warga emas itu pula dijumpai pada pukul 11 malam oleh anggota PPDA. 

“Pasukan PPDA telah menemukan mangsa kedua di dasar sungai dianggarkan tiga meter dengan jarak dari tebing 20 meter,” katanya kepada pemberita.

Menurut beliau mayat kedua-duanya telah diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) bagi tujuan bedah siasat. 

Dalam pada itu, Mohd Syazwan berkata, kehilangan kedua-dua mangsa itu hanya disedari oleh abang remaja berkenaan selepas tidak pulang sejak petang. 

“Berdasarkan maklumat awal yang kami terima abangnya mencari mangsa di kawasan sungai sebelum menjumpai barangan peribadi adiknya di lokasi.

“Selepas itu, dia ternampak jala di permukaan air dan cuba menarik dan melihat adiknya itu berada di jaring dalam keadan terbelit dan telah menarik ke atas permukaan namun mendapati mangsa tidak bernyawa. 

“Dia telah menghubungi talian kecemasan MERS 999 untuk meminta bantuan pihak bomba,” katanya. –UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN