MARANG: Di sebalik arus kemodenan dalam perusahaan makanan tradisional, sepasang suami isteri dari Kampung Batangan di sini, masih setia mengekalkan cara lama menghasilkan nisan kerek asli menggunakan dapur arang sejak lebih 40 tahun lalu.
Bagi Mohd Azam Ismail, 74, dan isterinya, Esah Adam, 71, kaedah tradisional yang diamalkan bukan sekadar warisan turun-temurun malah memberi kepuasan tersendiri kerana mampu mengekalkan rasa asli manisan itu.
Mohd. Azam berkata, rutin hariannya bermula seawal selepas subuh apabila dia memanjat pokok kelapa mengambil air nira yang diperoleh untuk dijadikan bahan utama menghasilkan nisan kerek.
Katanya, walaupun usia semakin lanjut, dia masih kuat memanjat pokok kelapa demi meneruskan perusahaan kecil yang menjadi sumber pendapatan keluarganya.
“Alhamdulillah, dengan kudrat tua yang ada saya masih boleh memanjat pokok kelapa untuk ambil air nira sebelum memulakan proses memasak.
“Biasanya sekitar pukul 8 pagi, air nira dimasak menggunakan dapur arang kira-kira tiga jam sehingga betul-betul pekat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Batangan.
Katanya, semua proses pembuatan dilakukan bersama isterinya tanpa bantuan pekerja bagi memastikan kualiti dan keaslian nisan kerek terus terpelihara.
Menurutnya, sebanyak 10 pokok kelapa di sekitar rumah dimanfaatkan sepenuhnya untuk mendapatkan bekalan air nira setiap hari.
“Pokok mengkuang yang dijadikan acuan nisan kerek (daun mengkuang yang dilingkar menjadi bentuk bulat) juga kami tanam sendiri. Semua dibuat secara tradisional seperti dulu. Dalam sehari kami mampu menghasilkan kira-kira 100 keping nisan kerek untuk dijual secara borong di rumah,” katanya.
Menurut Mohd. Azam, walaupun perusahaan itu dijalankan secara kecil-kecilan, permintaan terhadap nisan kerek tradisional masih memberangsangkan terutama daripada pelanggan tetap.
Katanya, kebanyakan nisan kerek yang dihasilkan diborong pelanggan dari beberapa kawasan termasuk Kemaman, Jertih dan Kuantan,Pahang.
“Jualan di rumah biasanya RM1.50 sekeping manakala harga borong lebih murah bergantung kepada jumlah tempahan,” katanya.
Menurutnya, cabaran utama ketika ini adalah persaingan dengan pengusaha yang menggunakan kaedah moden menggunakan dapur gas untuk menghasilkan nisan kerek dalam kuantiti lebih banyak. – UTUSAN








