PUTRAJAYA: Peratusan keluar mengundi awal direkodkan mencapai purata 95 peratus di semua enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam, sekali gus memberi gambaran positif jumlah pemilih yang akan turut turun menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian 12 Ogos ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan jumlah keluar mengundi awal itu semalam di enam negeri adalah sebanyak 72,554 orang. Kedah dan Terengganu merekodkan jumlah tertinggi peratusan keluar mengundi masing-masing 96.02 dan 95.91 peratus.
Peratusan undi awal di Negeri Sembilan dan Selangor pula masing-masing mencatatkan 94.05 dan 95.87 peratus, manakala Kelantan dan Pulau Pinang masing-masing 93.90 dan 95.01 peratus.
Bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu pula yang diadakan serentak dengan PRN kali ini turut merekodkan jumlah 95.47 peratus.
Sejumlah 97,388 pengundi dalam kalangan anggota polis dan tentera menjadi kumpulan pertama penentuan mandat kerajaan negeri dalam PRN di enam negeri dalam proses pengundian awal.
Jumlah itu terdiri daripada 49,660 tentera serta pasangan, 47,728 polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) yang membuang undi di 260 pusat mengundi awal melibatkan 377 saluran mengundi diguna pakai.
Golongan pengundi awal ini adalah merangkumi kira-kira satu peratus daripada keseluruhan 9.77 juta pengundi yang akan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai rakyat di negeri Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Mengikut pecahan, jumlah pemilih dalam kalangan anggota keselamatan itu di Selangor adalah direkodkan tertinggi meliputi 26,557 orang, diikuti Negeri Sembilan (26,079 orang); Pulau Pinang (11,294 orang); Kelantan (11,205 orang) dan Terengganu (6,957 orang). – UTUSAN










