PRK: Suhaizan akui sokongan akar umbi UMNO penting - Utusan Malaysia

PRK: Suhaizan akui sokongan akar umbi UMNO penting

SUHAIZAN KAYAT (tengah) mengadakan sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pelancaran Bilik Gerakan P161 Pulai di Taman Perling, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat mengakui sokongan ahli akar umbi dan penyokong UMNO amat penting bagi membolehkannya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen tersebut, 9 September ini.

Justeru, beliau bertekad akan bekerja keras untuk meraih sokongan para pengundi yang majoritinya Melayu Islam.

“Dalam pertemuan dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, beliau sendiri menyatakan akan menjelaskan tentang kerjasama ini kepada akar umbi UMNO.

“Kalau saya sebagai pihak luar yang berikan penerangan mungkin sedikit sukar untuk diterima, tetapi kalau beliau atau Datuk Seri Ahmad Maslan (Timbalan Badan Perhubungan UMNO Johor) yang terangkan, lebih mudah difahami.

“Sebelum ini, penerangan yang diberikan tidak begitu mendalam tetapi kalau penerangan itu sampai ke cawangan-cawangan dan turun ke akar umbi, saya rasa ia akan bantu dalam hal ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Bilik Gerakan P161 Pulai di Taman Perling, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed serta kepimpinan PH Johor yang lain.

Suhaizan yang juga Naib Pengerusi Amanah Johor  turut berjanji untuk memikul tanggungjawab dan amanah rakyat seperti dilaksanakan penyandang kerusi Parlimen itu  Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

“Ini juga merupakan kawasan saya dan saya mahu berbakti kepada penduduk di sini melalui platform yang lebih besar, iaitu sebagai wakil rakyat. Ini termasuk dengan merancang pelbagai aktiviti untuk menjayakan isu perumahan, pendidikan, sosial pembangunan insan dan lain-lain termasuk program Rahmah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN