JOHOR BAHRU: Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar mengakui amat memahami kepayahan rakyat, khususnya golongan B40 di Parlimen Pulai kerana beliau juga daripada keluarga susah.
Justeru, beliau berharap pata pengundi memberi peluang kepadanya untuk berbakti kepada komuniti atas platform sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut.
“Latar belakang keluarga saya bukanlah orang senang atau orang berada. Jadi, saya dapat rasa dan faham situasi harian yang dihadapi golongan itu.
“Disebabkan itu, setelah memulakan kerjaya sebagai seorang usahawan dan mempunyai sedikit peluang serta kemampuan untuk membantu, saya menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpusat di Kempas dalam Parlimen Pulai sejak beberapa tahun lalu.
“Bermula daripada situ saya dan rakan-rakan memulakan kerja-kerja untuk membantu meningkatkan kehidupan seharian rakyat,” katanya, di sini.
Beliau berharap pengundi di Parlimen Pulai akan memberikannya peluang untuk berbakti kepada mereka dengan memberi kemenangan kepadanya pada 9 September ini.
“Sekiranya diberikan mandat, saya akan lakukan yang terbaik dalam menyantuni masyarakat, bukan sahaja di peringkat Parlimen, malah dalam kehidupan seharian,” jelasnya.
PRK tersebut diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.
Parlimen Pulai mempunyai seramai 167,108 pengundi yang terdiri daripada 74,814 Melayu (44.17%), Cina 67,635 (40.48%), India 20,555 (12.30%) serta Lain-lain kaum 5,104 (3.05%). – UTUSAN