JOHOR BAHRU: Para pengundi di Parlimen Pulai diminta membuat pilihan bijak dengan memilih pembangunan setempat berbanding hanya sekadar memberi mesej kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.
Naib Presiden Kanan Parti Bangsa Malaysia (PBM), Steven Choong Shiau Yoon berkata, PRK tersebut hanya melibatkan satu kerusi dan tidak akan menjejaskan kerajaan Persekutuan dan seramai 167,108 pengundi perlu membuat keputusan menggunakan akal, bukannya emosi semata-mata.
“Senang sahaja sebenarnya untuk pengundi membuat pilihan, pilihlah calon kerajaan kerana penduduk akan terima manfaat sekiranya beliau dilantik menjadi menteri Kabinet.
“Jadi, mengapa pengundi perlu memilih wakil rakyat yang hanya akan menjadi pembangkang dan tidak dapat bantu bawa pembangunan kepada kawasan setempat,” katanya ketika mengikuti kempen calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat di Tapak Pasar Malam Taman Sutera, di sini hari ini.
Shiau Yoon yang juga bekas Ahli Parlimen Tebrau turut memberitahu, pengundi juga perlu mengambil kira titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tentang kerajaan perpaduan.
“Semalam, Tuanku juga telah bertitah meminta rakyat Malaysia memberikan masa kepada Perdana Menteri memulihkan ekonomi negara, jadi kita sebagai rakyat Johor perlu faham perkara itu,” katanya
PBM Johor turut menggerakkan jenteranya yang terdiri daripada 20 ahli untuk membantu jentera PH sepanjang tempoh dua minggu berkempen. – UTUSAN