JOHOR BAHRU: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Johor tiada halangan untuk memberi laluan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, 9 September ini.
Naib Pengerusinya, Datuk Tan Chin Hock berkata, meletakkan calon yang mampu memberikan kemenangan kepada Perikatan Nasional (PN) adalah keutamaan pihaknya ketika ini bagi menambah bilangan kerusi di Parlimen.
Katanya, calon yang akan bertanding sama ada daripada Bersatu atau Pas masih belum dimuktamadkan bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
“Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Gerakan cuma bertanding di dua kerusi di Johor, iaitu di kerusi Parlimen Pulai dan Kulai.
“Tiada masalah laluan diberikan kepada parti lain bertanding pada PRK Pulai, jika itu diminta pucuk pimpinan. Cuma, calon “winnable candidate” perlu diletakkan bertanding di Pulai,” katanya kepada pemberita hari ini.
PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.
Pada PRU15, Salahuddin menang dengan majoriti 33,174 undi menewaskan Datuk Nur Jazlan Mohamed (Barisan Nasional) yang memperoleh 31,726 undi, manakala calon PN, Loh Kah Yong meraih 20,677 undi.
Mengenai nama calon, Chin Hock memberitahu, Gerakan Johor telah menyenaraikan tiga nama.
“Pada mesyuarat PN Johor di Pagoh minggu lalu, setiap parti diminta mengemukakan tiga calon untuk disemak oleh pucuk pimpinan parti. Selepas itu, Gerakan Johor mengadakan mesyuarat secara dalam talian memandangkan ramai pimpinan yang terlibat membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri ketika ini.
“Senarai nama akan diserahkan kepada Pengerusi PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal pada mesyuarat PN Johor yang dijangka diadakan pada minggu ini,” katanya. – UTUSAN