PONTIAN: UMNO perlu diberikan peluang bertanding di salah satu kerusi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Simpang Jeram, 9 September ini.
Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, walaupun sebelum ini kerusi tersebut dimenangi Parti Amanah Negara (Amanah), namun itu tidak bermakna kedua-dua kerusi itu ditandingi oleh parti tersebut
Katanya, UMNO yang menunjangi kerajaan Barisan Nasional (BN) di Johor masih mempunyai sokongan kuat daripada akar umbi dan jenteranya bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa sahaja.
“Oleh itu, saya berpendapat, tidak salah jika semangat itu diterjemahkan di Johor, dengan salah satu kerusi diserahkan kepada BN dan UMNO, jika tidak boleh kerusi Parlimen mungkin kerusi DUN,” katanya selepas menyampaikan hadiah kepada peserta Sukan Bangsa Johor peringkat DUN Benut di Dataran Dato’ Jalok, di sini.
Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, BN dan UMNO telah membuktikan keupayaan memenangi PRN Johor pada Mac tahun lalu dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN dipertandingkan.
“Penyertaan dalam PRK sama ada Parlimen Pulai atau DUN Simpang Jeram akan memberi semangat kepada jentera BN dan UMNO untuk bekerja bagi menyumbang kemenangan.
“Kita perlu lakukan apa sahaja supaya UMNO dan BN terus menjadi faktor penentu utama setiap kali pilihan raya diadakan di Johor,” katanya yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam.
Bekas Menteri Besar Johor itu menjelaskan, kerjasama baik yang ditunjukkan dalam parti-parti yang membentuk kerajaan perpaduan seharusnya diterjemahkan dengan persefahaman memberikan laluan kepada BN untuk bertanding di salah satu kerusi tersebut.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 9 September depan sebagai hari mengundi pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu. – UTUSAN