PN muktamadkan ketua pembangkang DUN Negeri Sembilan, minggu hadapan - Utusan Malaysia

PN muktamadkan ketua pembangkang DUN Negeri Sembilan, minggu hadapan

RAFIEI MUSTAPHA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan akan membincang dan memuktamadkan siapakah yang akan menjadi ketua pembangkang bagi negeri dalam kalangan lima orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti itu pada minggu hadapan.

Timbalan Pengerusi PN yang juga Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha berkata, Pas juga malam tadi sudah mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut dan mengambil pendirian bahawa ia perlu dibawa ke peringkat Pusat untuk turut dibincangkan.

“Mesyuarat PN Negeri Sembilan akan diadakan minggu hadapan dan di situ dijangka ia akan dimuktamadkan dan akan turut dibawa ke pengetahuan PN Pusat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu, PN menang di lima buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan. 

Kerusi DUN Serting, Paroi dan Bagan Pinang dimenangi PN menerusi wakil dari Pas manakala kerusi Labu dan Gemas dimenangi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Berdasarkan jumlah dan kedudukan dalam parti, ADUN Paroi yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Kamarol Ridzuan Mohd. Zin antara yang dilihat layak untuk menduduki kerusi ketua pembangkang tersebut.

Sementara itu, Rafiei berkata, PN akan membentuk satu sekretariat khas DUN bagi membantu kelima-lima ADUN mereka daripada pelbagai aspek termasuk untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan yang diwakili.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN