SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) sudah tentu mempunyai potensi dan peluang lebih baik untuk memenangi sekali gus mempertahankan kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kedua-dua kawasan tersebut.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, potensi kemenangan itu sudah tentu mengambil kira faktor PH merupakan penyandang bagi kerusi tersebut selain kali ini ia akan turut dibantu dengan undi dari Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
“Saya yakin kedua-dua kerusi ini ada potensi untuk dipertahankan kerana yang pertama, kedua-duanya adalah kerusi penyandang dan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub merupakan pemimpin yang sangat dihormati dan disanjungi dan beliau mempunyai track record yang cukup baik, saya yakin sumbangan beliau akan terus disokong oleh pengundi di kedua-dua kawasan itu.
“Kedua-dua kerusi ini juga merupakan kerusi campuran, sudah tentu PH ada kelebihan tambahan pula dapat sokongan daripada UMNO Johor, saya yakin bantuan daripada UMNO ini, kami bukan sahaja dapat mempertahankan sokongan malah mendapat sokongan daripada pengundi-pengundi UMNO dan BN,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.
PRK Parlimen Pulai menyaksikan pertandingan tiga penjuru yang menyaksikan PH diwakili oleh calonnya Suhaizan Kayat manakala Perikatan Nasional (PN) diwakili oleh Zulkifli Jaafar serta seorang calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.
PRK Simpang Jeram juga menyaksikan pertembungan tiga penjuru dengan PH diwakili oleh Ir. Nazri Abdul Rahman dan disaingi pula calon PN Dr. Mohd. Mazri Yahya serta calon Bebas, S. Jeganathan.
Hari pengundian bagi PRK di kedua-dua kawasan itu ditetapkan pada 9 September hadapan.
Sementara itu, mengulas mengenai PRK DUN Pelangai di Pahang, Anthony Loke berkata, sudah pasti kerusi tersebut akan ditandingi oleh calon dari UMNO-BN yang merupakan penyandangnya.
“Kami memang sudah ada persefahaman, kalau kerusi penyandang, ia akan terus ditandingi oleh parti yang menyandang kerusi tersebut dan sudah tentu PH tidak akan letakkan calon bagi kerusi DUN Pelangai,” katanya lagi.-UTUSAN.