Pesakit diberi rawatan sewajarnya, kejadian tular di HSI bukan gambaran penuh - Exco - Utusan Malaysia

Pesakit diberi rawatan sewajarnya, kejadian tular di HSI bukan gambaran penuh – Exco

LING TIAN SOON (tengah) meninjau operasi Jabatan Kecemasan dan Trauma HSI, Johor Bahru ekoran dakwaan seorang wanita bahawa ibunya lambat diberikan rawatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dakwaan seorang wanita bahawa ibunya yang dibawa ke Zon Kuning Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini tidak dilayan sewajarnya bukan gambaran penuh keadaan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon sebaliknya berkata, pesakit tersebut telah diberikan rawatan sewajarnya mengikut keadaan keperluannya.

“Seperti yang dimaklumkan doktor pakar kecemasan bahawa pesakit tersebut yang dipindahkan dari Klinik Kesihatan ke Jabatan Kecemasan oleh ambulans terus ditolak masuk ke Zon Kuning dan diberikan rawatan yang sewajarnya, manakala warisnya menunggu di kawasan menunggu Zon Hijau. 

“Setelah menstabilkan pesakit, sampel darahnya turut diambil dan dihantar ke makmal. Sementara menunggu laporan, CT Scan turut dilakukan terhadap pesakit untuk memeriksa keadaan kesihatannya. Pesakit tersebut dibenarkan pulang selepas proses rawatan dan pemeriksaan yang teliti,” katanya selepas meninjau operasi wad berkenaan, di sini hari ini.

Tian Soon berkata, salah faham tersebut berlaku disebabkan masalah komunikasi antara pihak hospital dan keluarga pesakit.

“Kami mengambil maklum pandangan orang ramai terhadap perkhidmatan perubatan di hospital-hospital di negeri Johor. Saya yakin bahawa anggota perubatan kita yang merupakan petugas barisan hadapan telah melaksanakan tugas mereka secara profesional dengan sumber sedia ada.

“Saya ingin menegaskan bahawa semua kes kecemasan kategori Zon Merah (kritikal) dan Zon Kuning (separa Kritikal) yang dihantar ke Jabatan Kecemasan Hospital akan dirawat dengan segera mengikut keadaan pesakit,” katanya.

Menurutnya, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi juga telah mengadakan lawatan kerja ke HSI beberapa kali dan pihak kerajaan negeri memahami pandangan orang ramai terhadap hospital berkenaan.

“Kami juga memahami beban kerja warga hospital dengan kedatangan sehingga 400 kes setiap hari di Jabatan Kecemasan. Oleh itu, kami telah berbincang dengan pihak Kementerian Kesihatah bahawa Johor amat memerlukan staf tambahan bagi meringankan bebanan petugas dan melancarkan segala proses rawatan secara efisien,” katanya.

Terdahulu, tular dalam Facebook dakwaan seorang wanita bahawa ibunya tidak diberikan rawatan yang sewajarnya.

Pemilik Facebook dengan nama Mazliyana Hazirah turut mendakwa tidak dipanggil biarpun ibunya telah dimasuk ke Zon Kuning dari jam 11 pagi hingga 7 petang, selain dimarahi oleh pengawal keselamatan hospital berkenaan kerana memasuki zon tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya