Perkeso giat laksana advokasi cegah kemalangan

Perkeso giat laksana advokasi cegah kemalangan

MUSTAPHA Sakmud membantu menukar minyak enjin motosikal ketika menghadiri Program Advokasi Pencegahan Kemalangan dan Promosi Kesihatan Perkeso 2023 di pasar raya besar Lotus’s Sungai Petani Selatan, Kedah, semalam. – MINGGUAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) giat mengambil langkah proaktif bagi melaksanakan advokasi cegah kemalangan termasuk di tempat kerja kepada para pencarumnya.

Ini berikutan kadar kemalangan jalan raya yang melibatkan pekerja yang mencarum dengan Perkeso terus meningkat saban tahun, walaupun banyak usaha telah dilaksanakan oleh pelbagai pihak.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, berbanding tahun 2021, terdapat peningkatan sebanyak 38 peratus kemalangan membabitkan golongan itu yang direkodkan berbanding tahun lalu.

“Dari segi jumlahnya peningkatan kes yang berlaku adalah daripada 23,894 kepada 32,976 kes.

“Berdasarkan kes kematian yang direkodkan pada tahun lalu pula, sebanyak 651 pekerja maut akibat kemalangan ketika perjalanan, manakala hanya 281 kes dicatatkan akibat kecelakaan di tempat kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Advokasi Pencegahan Kemalangan dan Promosi Kesihatan Perkeso 2023 di pasar raya Lotus’s Sungai Petani Selatan, semalam.

Yang turut hadir Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan Dan Pemulihan Perkeso, Dr. Azlan Darus; Pengarah Perkeso Kedah, Rafidah Abdul Rahim dan Pengurus Besar Lotus’s Stores Malaysia Sdn. Bhd., K. Ramesh Kumar.

Tambah Mustapha, sepanjang tahun lalu, perbelanjaan Perkeso untuk kemalangan perjalanan melibatkan kematian, hilang upaya dan kecederaan kepada pekerja adalah dianggarkan kira-kira RM700 juta.

“Jumlah ini dilihat cukup besar tetapi yang lebih mendukacitakan apabila ia turut memberi impak psiko-sosial yang lain kepada masyarakat kita. Kejadian seperti hilang ahli keluarga, orang tersayang, rakan sekerja dan sebagainya cukup menyedihkan.

“Kehilangan ini tidak dapat diganti dengan wang ringgit. Ini tidak termasuk kerugian dari segi ekonomi dan produktiviti, termasuklah kepada pihak majikan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, program pencegahan yang dilaksanakan di premis majikan amat bertepatan dan wajar, malah Perkeso kini bersama 573 rakan majikan di seluruh negara proaktif menggerakkan Vision Zero.

Katanya, para majikan pada masa sama digesa memberi perhatian serius untuk memastikan keselamatan pekerja masing-masing pada tahap yang terbaik dan mendapat jaminan keselamatan.

“Begitu juga selaku pekerja, menjadi tanggungjawab diri sendiri untuk memastikan dalam keadaan berwaspada, sentiasa menunggang atau memandu kenderaan dengan cara yang selamat. Paling penting patuhi undang-undang jalan raya bagi mengelak berlakunya kemalangan,” katanya.

Dalam pada itu, berhubung tahap kesihatan pekerjaan pula, Mustapha berkata, analisis saringan kesihatan yang dijalankan Perkeso mendapati 42 peratus pekerja mengalami masalah obesiti.

“Kira-kira 14.1 peratus pekerja menghidap kencing manis, manakala 27.91 peratus menghidap darah tinggi dan 61.2 peratus daripada mereka mempunyai masalah kolesterol tinggi.

“Oleh itu, semua pekerja disaran mengambil peluang menjalani saringan kesihatan yang ditawarkan Perkeso secara percuma mulai 16 Mei lalu,” katanya.
Beliau berkata, Program Saringan Kesihatan Perkeso yang dijalankan dapat membantu pekerja untuk mengesan lebih awal penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan kanser.

“Adalah menjadi harapan kerajaan agar program seumpama ini mendapat sokongan daripada semua pihak supaya ia menjadi pemangkin untuk meningkatkan tahap kesedaran terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam kalangan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN