ISKANDAR PUTERI: Perbezaan pentadbiran di peringkat Pusat dan negeri tidak menghalang usaha kerajaan dalam menarik lebih banyak pelaburan asing masuk ke seluruh negara.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Liew Chin Tong sebaliknya berkata, kerajaan tidak akan mencampuradukkan perbezaan politik dengan tanggungjawab kepada rakyat untuk meningkatkan ekonomi setempat, sekali gus meningkatkan taraf kehidupan masyarakat.
“Selepas PRN (Pilihan Raya Negeri), kita perlu kembali bekerjasama untuk menjana pelaburan bukan sahaja asing tetapi juga tempatan. Ini penting bagi menjana pekerjaan dan ekonomi masyarakat dan itu objektif kerajaan Pusat dan saya rasa kerajaan negeri juga mempunyai matlamat sama.
“Kami harap perbezaan kerajaan Pusat dan beberapa negeri tidak akan jadi faktor yang merencatkan pelaburan, contohnya di Kulim, Kedah. Walaupun tidak sama Pusat dan negeri tetapi banyak pelaburan asing dibawa masuk ke sana,” katanya selepas menghadiri program Geran Komuniti Iskandar Puteri Rendah Karbon 3.0 di Horizon Hill, di sini hari ini yang turut dihadiri Datuk Bandar Iskandar Puteri, Datuk Mohd. Haffiz Ahmad dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Dr. Badrulhisham Kassim.
Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri turut menyeru kedua-dua pihak, iaitu kerajaan perpaduan dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mengetepikan perbezaan, sebaliknya terus bekerjasama demi manfaat negara.
Mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, beliau yang juga Pengerusi DAP Johor memberitahu, pihaknya akan membantu calon daripada Parti Amanah Negara (Amanah) bagi mengekalkan kedua-dua kerusi tersebut dalam Pakatan Harapan (PH).
“Bukan sahaja DAP Johor, malah PKR Johor juga telah memberikan komitmen kepada calon Amanah yang juga merupakan calon kerajaan perpaduan dalam PRK tersebut.
“Difahamkan, BN juga akan turut memberikan kerjasama dalam menggerakkan jentera mereka,” katanya. – UTUSAN