KOTA BHARU: Ketumpulan penyudah menjadi masalah utama yang menghantui Kelantan United ketika ini apabila setiap peluang terhidang gagal diterjemahkan ke dalam bentuk jaringan bagi membantu pasukan meraih kemenangan.
Pengendalinya Ailton Silva berkata, situasi itu terus dapat disaksikan apabila Sang Kijang Hijau gagal meledakan jaringan walaupun memiliki peluang terbaik untuk berbuat demikian pada aksi Liga Super menentang Sri Pahang FC malam tadi.
“Penyudah tumpul adalah masalah utama. Kita berjaya cipta banyak peluang tetapi hanya mampu menjaringkan satu gol sedangkan Sri Pahang mencipta peluang sama banyak dengan kita tetapi mampu mencetak sehingga lima gol.
“Kita bermula dengan baik dan menguasai perlawanan sehingga minit ke-10 yang mana pihak lawan mula mencetak gol. Bagi kami, situasi sebegitu tidak mudah kerana pemain-pemain memerlukan keyakinan untuk bermain dan terus berjuang,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan Liga Super menentang Sri Pahang FC di Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam tadi.
Pada perlawanan itu, gol-gol kemenangan Sri Pahang masing-masing diledakan oleh Mohd. Azrif Nasurulhaq (minit ke-10), Sergio Aguero (minit ke-22, 27), Kpah Sherman (minit ke-66) dan David Rowley (minit ke-90).
Gol sagu hati Kelantan United pula dijaringan oleh Royyizat Daud pada minit ke-77.
Mengulas mengenai kekalahan itu, Ailton mahu barisan pemainnya bangkit untuk mencari kemenangan pada perlawanan selepas ini.
Katanya, tidak dapat disangkal lagi bahawa perubahan perlu dilaksanakan demi kebaikan pasukan kerana apa kualiti yang dimiliki Sang Kijang Hijau pada ketika ini tidak cukup untuk membolehkan mereka mencabar kedudukan teratas Liga Super.
“Sejujurnya sehingga ke hari ini saya tetap berbangga dengan semua pemain atas apa yang telah mereka berikan tetapi tidak dapat disangkal, apa yang kita ada ketika ini tidak mencukupi dan kita perlukan perubahan.
“Kita perlu teruskan perjuangan dengan cara kita. Bukan hanya saya, barisan jurulatih dan pengurusan tetapi seluruh warga kelab perlu menghormati baju dan lencana ini (Kelantan United) dan terus memberikan yang terbaik,” ujarnya.
Pengendali dari Brazil itu menjelaskan, semua pihak perlu mengakui bahawa musim ini bukan untuk Kelantan United dan selepas ini pasukan itu akan berdepan satu lagi perlawanan sukar.
Katanya, pertemuan dengan Kuching City FC pada 4 September di halaman sendiri nanti adalah sangat penting dan Kelantan United wajib menang pada perlawanan itu demi meningkatkan kembali keyakinan pemain.-UTUSAN