TAMPIN: Mahkamah Majistret Tampin hari ini menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM4,000 ke atas seorang penoreh getah selepas dia mengaku bersalah memiliki dua laras senapang angin tanpa lesen di sebuah taman perumahan, di sini, pada bulan Jun lalu.
Tertuduh, Selamat Rais, 58, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Kartini Kasran.
Majistret menetapkan hukuman denda tersebut dan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan dia bakal dipenjara 11 bulan.
Berdasarkan pertuduhan, pada 27 Jun lalu kira-kira pukul 10 malam di sebuah rumah, telah didapati dalam milikan tertuduh dua laras senapang angin tanpa lesen senjata atau permit senjata yang sah.
Oleh itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Syuhada Mohd Isa.
Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya menyatakan dia menanggung isterinya yang sakit dan hanya bekerja sebagai penoreh getah.-UTUSAN.