SEREMBAN: Daripada 108 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi di enam negeri yang mengadakan pilihan raya negeri (PRN), Barisan Nasional (BN) menerusi UMNO hanya menang 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sebanyak 14 kerusi daripada jumlah tersebut dimenangi di Negeri Sembilan.
Kerusi-kerusi terbabit adalah di Pertang, Sungai Lui, Palong, Jeram Padang, Lenggeng, Chembong, Rantau, Kota, Gemencheh, Linggi, Seri Menanti, Senaling, Juasseh dan Lenggeng.
Kemenangan 14 kerusi itu sekali gus membantu pembentukan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan dengan majoriti dua pertiga apabila PH menang di 19 buah kerusi yang lain.
Berbanding lima buah negeri lain UMNO dan BN dilihat semakin tidak mendapat sokongan rakyat, sebaliknya pula berlaku di Negeri Sembilan.
Sejumlah 14 kerusi yang dimenangi daripada keseluruhan 17 kerusi yang ditandingi di Negeri Sembilan masih boleh dianggap sebagai pencapaian baik buat BN dan UMNO.
Banyak faktor dilihat mendorong perkara itu antaranya bahawa Negeri Sembilan sememangnya menjadi kubu kuat BN selama ini selain kekuatan yang ada pada parti itu di peringkat akar umbi.
Perkara tersebut turut dipersetujui Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
“PH mempunyai sokongan akar umbi yang baik di Negeri Sembilan begitu juga dengan UMNO, walaupun kita tahu ada dakwaan bahawa ahli UMNO marah tetapi asas yang ada itu amat baik kerana itu UMNO dapat bertahan untuk menang di Negeri Sembilan, PH juga, ia menunjukkan kekuatan yang seimbang.
“Apabila ada sokongan begitu, Alhamdulillah ia dapat dipertahankan berbanding di negeri-negeri lain,” katanya.
Sementara itu, faktor pengaruh Timbalan Pengerusi BN yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mungkin masih lagi berkesan menarik sokongan pengundi.

Malahan ia juga jelas dilihat hasil undi diterima Mohamad yang menang mempertahankan kerusi DUN Rantau dengan majoriti sebanyak 10,280 undi.
Ia juga dibantu dengan kepemimpinan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang dilihat berjaya mengatur keseluruhan jentera parti itu kali ini dengan lancar tanpa sebarang isu yang membelenggu. – UTUSAN










