Pemuda UMNO buat post mortem prestasi PRN Khamis ini - Utusan Malaysia

Pemuda UMNO buat post mortem prestasi PRN Khamis ini

DR. MUHAMAD AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemuda UMNO menerima sambutan positif dalam kalangan ahli-ahlinya terhadap usaha post mortem berhubung prestasi parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya akan melakukan sesi post mortem itu di seluruh negara agar usaha tersebut lebih terfokus dan boleh melibatkan lebih ramai ahli di bawah untuk hadir.

Menurut beliau, buat permulaan untuk fasa pertama itu akan buka dulu kepada pimpinan G5 (kumpulan kelima) iaitu setiap pemuda UMNO bahagian sahaja untuk hadir.

“Alhamdulillah, kita menerima ramai respon ahli-ahli di bawah untuk hadir ke post mortem Pemuda UMNO Malaysia pada Khamis ini dan ada juga yang menyatakan supaya boleh dilakukan di setiap negeri untuk mana-mana yang tidak dapat hadir pada Khamis ini.

“Memandangkan kapasiti dewan yang ada  terhad dan permintaan untuk diadakan beberapa siri di setiap negeri, maka untuk fasa pertama ini kita akan buka dulu kepada pimpinan G5 setiap pemuda UMNO bahagian sahaja untuk hadir.

“Insya-Allah kita akan buat jelajah seluruh negeri agar sesi post mortem  akan lebih terfokus dan boleh melibatkan lebih ramai ahli-ahli di bawah untuk hadir. Jadual sesi post mortem seluruh negara akan kita keluarkan nanti,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

PRESTASI

Sebelum ini, Dr. Muhamad Akmal memaklumkan pihaknya akan membuat post mortem berhubung prestasi UMNO dalam PRN pada 12 Ogos lalu dan buat permulaan Sesi pertama itu bakal diadakan di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras pada Khamis ini.

Keputusan PRN menyaksikan Barisan Nasional (BN) yang mengetengahkan calon UMNO kalah di semua kerusi yang ditandingi di Kedah dan Terengganu manakala hanya menang di dua kawasan masing-masing di Selangor dan Pulau Pinang, Kelantan (satu) dan Negeri Sembilan (14).

Berbanding PN, gabungan politik yang terdiri daripada Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berjaya menguasai 146 kerusi daripada 245 kawasan ditandingi di samping terus mengekalkan kemenangan besar tiga buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Pada masa sama, Dr.  Muhamad Akmal berkata, UMNO perlu dikembalikan kepada zaman kegemilangannya.

“Masa untuk kita berani berubah kepada yang lebih baik, UMNO perlu dikembalikan kepada zaman kegemilangannya,”katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN