JOHOR BAHRU: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendakwa Pas masih menjadikan agama sebagai kosmetik untuk meraih sokongan rakyat.
Dakwanya, parti itu sanggup menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal kerana mahukan kuasa dan jawatan bagi kekal relevan dalam politik tanah air.
“Sejak dari dulu lagi, semua orang tahu Pas hanya gunakan Islam sebagai alat ‘make up’ atau kosmetik untuk meraih sokongan rakyat kepada parti itu. Kadang-kadang mereka sapu ‘make up’ tebal Islam bagi menampakkan cantiknya parti Pas walhal di sebalik kosmetik itu Pas sebenarnya ada wajah yang amat buruk.
“Muka-muka yang menipu rakyat atas nama Islam, muka-muka yang guna nama Islam untuk terus rakus berkuasa dan muka-muka yang menunggang Islam demi mengejar jawatan dan kekayaan.
“Sebab itulah kalau kita tengok sudah lebih 33 tahun Pas perintah Kelantan, apa kemajuan yang mereka bawa, apa pembangunan yang mereka dah buat, apa usaha mereka yang dah laksanakan untuk bela ramai rakyat miskin di negeri Serambi Mekah itu, jawapannya tiada,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Bekas Ahli Parlimen Pulai berkata, pemimpin Pas boleh pula hidup dalam keadaan mewah dengan menaiki kenderaan mahal sedangkan ahli akar umbi parti perlu terus mengutip dana untuk parti.
“Kononnya atas niat menyokong perjuangan dan menegakkan kerajaan Islam. Demi nak masuk syurga, geng walaun pun tanpa banyak soal dan dolak-dalih terus wala’ kepada pemimpin Pas. Untuk PRN (Pilihan Raya Negeri) kali ini, bila dana sudah kurang tak macam PRU-15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) lalu selepas akaun parti dan beberapa ahli Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dibekukan kerana didakwa atas tuduhan salah guna kuasa dan seleweng duit, maka saya percaya modal Pas kali ini bukan lagi untuk tarik undi orang Melayu, sebaliknya mereka akan sapu ‘make up’ Islam lagi tebal untuk pikat pengundi,” katanya.
Ini kerana, katanya, pemimpin Pas pandai menggunakan pelbagai cara termasuk memetik ayat al-Quran dan hadis dengan mendakwa kononnya sesiapa yang mengundi parti itu akan dapat pahala.
“Mereka akan gunakan dalil-dalil agama bagi pukau para penyokong untuk terus istiqamah bersama Pas dan bencikan parti lain. Benda ini bukanlah baharu tapi Pas selalu perbaharui cara mereka tunggang agama ikut perkembangan politik semasa yang ada keuntungan untuk nafsu serakah mereka.
“Doktrin dan pembersihan minda guna agama yang dibawa oleh Pas sudah amat berjaya di Kelantan. Selama lebih 30 tahun mereka ‘mencuci’ otak rakyat Kelantan dan tanam dalam kepala para walaun bahawa hanya Pas parti Islam. Tapi negeri itu bukannya makin maju tapi sudah ketinggalan dari segi pembangunan dan perkembangan ekonomi,” katanya.
Justeru, Nur Jazlan menasihati pengundi khususnya di Kedah dan Selangor untuk terus memberi kepercayaan dan sokongan kepada gabungan kerajaan perpaduan untuk terus membawa pembangunan negeri masing-masing. – UTUSAN