Parlimen Sekijang pertama jayakan saringan kolesterol Madani Afiat - Utusan Malaysia

Parlimen Sekijang pertama jayakan saringan kolesterol Madani Afiat

DR. ZALIHA MUSTAFA melawat penduduk setempat yang menjalani pemeriksaan kesihatan sempena Program Madani Afiat di SK Kampung Jawa, Segamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Parlimen Sekijang di sini bakal menjadi yang pertama menjayakan saringan kolesterol dalam pelaksanaan pemeriksaan kesihatan menerusi Program Madani Afiat.

Menurut Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa, menerusi konsep dari rumah ke rumah itu, para petugas kementeriannya membuat saringan kesihatan percuma, terutamanya kepada warga emas yang menetap di kawasan luar bandar. 

“Sebagai negeri keempat yang menganjurkan Madani Afiat selepas Selangor, Terengganu dan Kelantan, saya melihat bahawa pelaksanaan saringan kesihatan merupakan perkara penting yang seharusnya diutamakan dalam kita meneruskan program Madani Afiat di negeri ini.

“Pemeriksaan kesihatan dengan kaedah pelaksanaan sebegitu boleh membantu kementerian untuk mengenal pasti individu yang menghidap penyakit tidak berjangkit. Ia  membolehkan fasiliti kesihatan yang berhampiran menyediakan rawatan susulan yang sesuai dengan penyakit yang dihidapi oleh seseorang individu, lebih-lebih lagi yang berdepan dengan dugaan kesempitan kewangan,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Madani Afiat Negeri Johor dan Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 2.0 peringkat kebangsaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jawa, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Lukanisman Awang Sauni: Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr  Norhayati Rusli; Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Mohtar Pungut dan Pegawai Daerah Segamat, Mohd. Masni Wakiman.

Dr. Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang berkata, rangkaian penyampaian perkhidmatan yang diterapkan menerusi konsep itu merupakan interpretasi kepada tunggak pertama yang digariskan dalam Kertas Putih Kesihatan yang dibentangkan di Parlimen pada Mei lalu.

“Kebersamaan yang saya falsafahkan dalam menunaikan mandat rakyat merupakan rahsia di sebalik pengilhaman ‘Madani Afiat. Istilah tersebut diilhamkan daripada keprihatinan, tekad serta aspirasi yang saya kongsikan bersama keluarga besar Kementerian Kesihatan yang bercita-cita ingin menjadikan Malaysia Madani sebagai era yang ditamadunkan dengan kesejahteraan rakyat dalam aspek kesihatan atau afiat.

“‘Afiat’ yang difrasakan itu bukanlah semata-mata tentang kesihatan kendiri. Ia juga menzahirkan makna sebenar kejituan kerajaan perpaduan dalam menerapkan nilai-nilai konstruktif yang boleh membangunkan negara dalam konteks keupayaan rakyat sebagai penyumbang ekonomi.

“Rakyat yang sihat menghasilkan kemajuan yang mampan. Sebagai nakhoda Kementerian Kesihatan, saya memikul mandat yang besar untuk memperkasakan ekosistem kesihatan negara yang sudah tentu akan memberi manfaat yang progresif kepada rakyat Malaysia Madani,” katanya.

Beliau berkata, saringan Madani Afiat yang dijalankan di tiga buah negeri sebelum ini telah berjaya menyaring seramai 1,416 rakyat yang berusia 18 tahun dan ke atas. 

Daripada jumlah yang disaring, seramai 568 individu telah direkodkan menghidap tekanan darah tinggi, manakala 402 orang didapati mengalami diabetes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya