Najib mohon perbicaraan 1MDB dibatalkan

Najib mohon perbicaraan 1MDB dibatalkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memfailkan permohonan agar perbicaraan penyelewe­ngan dana RM2.28 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang telah berjalan selama 167 hari dibatalkan.

Najib juga memohon dilepas dan dibebaskan atas 25 pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan sua­pan dan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sa­ma.

Ia dimaklumkan oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika sambung bicara di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

“Rentetan daripada pendedahan Yang Arif kira-kira dua ming­gu lalu, kami mendapat arahan daripada anak guam kami untuk memfailkan permohonan agar Yang Arif menarik diri daripada terus mendengar, memutuskan dan membuat penghakiman me­ngenai kes ini,” ujar peguam itu.

Katanya, sekiranya permohonan menarik diri itu dibenarkan, terdapat tiga pilihan yang boleh dibuat oleh mahkamah.

“Kalau permohonan ini dibenarkan, Yang Arif perlu membatalkan perbicaraan ini serta Datuk Seri Najib dilepaskan dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan.

“Sekiranya permohonan ini dibenarkan, Yang Arif boleh mengarahkan agar kes ini dibi­carakan semula (de novo) di hadapan hakim baharu.

“Selain itu,mahkamah boleh mengarahkan agar perbicaraan pada peringkat ini diteruskan di hadapan hakim baharu,” kata Muhammad Shafee.

Pada 26 Julai lalu, Hakim Sequerah mendedahkan bahawa beliau pernah bekerja di firma guaman yang sama dengan bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan.

Prosiding diteruskan dengan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz menyambung keterangannya di peringkat pemeriksaan utama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN