SEREMBAN: Orang ramai terus dinasihatkan supaya tidak menyebar gambar atau video yang melibatkan mangsa tragedi pesawat ringan persendirian ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) di Elmina, Shah Alam, Selangor, semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, menularkan video dan gambar mangsa tragedi tersebut di media sosial merupakan tindakan yang tidak wajar kerana aib mangsa dan perasaan waris mangsa perlulah dihormati.
“Dalam membentuk masyarakat yang beradab dan berakhlak, saya suka menasihatkan rakyat Malaysia, jangan salah gunakan media sosial, perlu hormat aib mangsa dan waris mangsa.
“Kalau kita tidak mahu keaiban kita dibuka maka jangan aibkan orang lain dengan menularkan gambar-gambar tidak sepatutnya (berkaitan) mangsa kejadian.
“Saya ucapkan takziah kepada waris-waris mangsa semua atas kejadian yang berlaku. Kita doakan waris-waris mangsa diberikan kekuatan dan kesabaran dari Allah atas cubaan kehilangan mereka yang disayangi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Set Komputer Kepada Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani di sini hari ini.
Seramai 10 individu maut dalam nahas sebuah pesawat ringan jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) pada pukul 2.40 petang semalam di Persiaran Elmina, Seksyen U16, Shah Alam, Selangor yang dalam perjalanan dari Langkawi, Kedah menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Bagaimanapun, pesawat terbabit terputus hubungan dengan menara kawalan sebaik sahaja mendapat kebenaran untuk mendarat di lapangan terbang berkenaan.
Mangsa yang berada dalam pesawat seramai lapan orang terdiri daripada enam lelaki termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun serta dua anak kapal termasuk seorang juruterbang
Sementara dua lagi merupakan penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan berada di Persiaran Elmina berhampiran susur masuk Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dari arah Denai Alam.
Terdahulu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan bahawa tindakan undang-undang mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh dikenakan ke atas sebarang perkongsian melibatkan gambar atau video mangsa tragedi pesawat ringan terhempas tersebut.
SKMM dalam kenyataan memberitahu, berkongsi gambar mahupun rakaman video mangsa nahas berkenaan bukan sahaja boleh menyinggung perasaan keluarga mangsa malah melanggar prinsip serta etika yang paling asas.-UTUSAN.










